Negara makin maju, tapi pemandu makin menggila

Kemalangan tragis yang meragut nyawa seramai 15 penuntut UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Kemalangan tragis yang meragut nyawa seramai 15 penuntut UPSI di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
A
A
A

PEMANDUAN yang berhemah memainkan peranan penting dalam menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan kesesakan lalu lintas.

Namun, saban hari berita mengenai kemalangan jalan raya kerap dilaporkan di setiap platform media sehingga menimbulkan kebimbangan ramai pihak.

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan berita kemalangan tragis yang meragut nyawa seramai 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak.

Kejadian awal pagi Isnin, 9 Jun lalu melibatkan sebuah bas persiaran membawa seramai 42 penuntut UPSI dari Jerteh, Terengganu ke kampus di Tanjung Malim yang dipercayai terbabas di laluan Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Daripada laporan berita tersebut, ia memberi peringatan kepada semua pihak — apabila memandu, ia bukan sekadar mengemudi kenderaan semata-mata.

Pemandu perlu menitikberatkan pelbagai perkara termasuk pemeriksaan kenderaan, pemakaian tali pinggang keledar, mematuhi had laju, penggunaan lampu isyarat ketika menukar lorong dan bertimbang rasa terhadap pengguna jalan raya lain.

Ringkasnya, keseluruhan aspek tersebut adalah etika pemanduan di jalan raya. Etika pemanduan itu telah diajar dan diterapkan di sekolah memandu, namun persoalannya adakah ia diamalkan sepenuhnya oleh pengguna jalan raya?

Dengan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya, kesedaran sivik dan etika pemanduan yang betul dalam kalangan masyarakat dilihat semakin ‘lesap’ seiring peredaran zaman.

Artikel Berkaitan:

Emosi pemandu yang sepatutnya tenang dan bertolak ansur di jalan raya kini bertukar kepada agresif serta kurang empati. Etika pemanduan yang berhemah pula diganti dengan budaya memaki hamun dan provokasi.

Hasilnya, perbuatan buli di jalan raya dilihat semakin menjadi-jadi. Jika tidak dibendung, pasti mengundang lebih banyak masalah di jalan raya. Ia bukanlah perkara baharu kerana sering dilaporkan di media massa.

Buli di jalan raya boleh berlaku dalam pelbagai bentuk termasuk pemanduan secara agresif, tingkah laku provokasi atau konfrontasi, gangguan pemandu dan penyalahgunaan lorong kecemasan.

Daripada senarai di atas, boleh dikatakan majoriti bentuk buli di jalan raya telah pun berlaku di negara ini. Banyak punca yang mendorong kepada tercetusnya budaya buli di jalan raya termasuk dari aspek kesedaran.

Ada pemandu yang mungkin tidak sedar atau sengaja mengabaikan undang-undang dan peraturan jalan raya.

Ada kemungkinan juga segelintir pemandu berasakan mereka boleh terlepas daripada tindakan undang-undang terutama jika tiada saksi atau bukti yang kukuh.

Perbuatan buli di jalan raya adalah satu kesalahan yang serius dan jika dibiarkan, ia boleh mendorong kepada peningkatan kemalangan atau lebih buruk lagi mengakibatkan kematian.

Sementara itu, mangsa buli boleh mengalami tekanan emosi, ketakutan, atau trauma yang boleh menjejaskan keyakinan mereka ketika memandu.

Oleh itu, kerajaan perlu lebih tegas dalam merangka dasar undang-undang dan melaksanakan hukuman lebih berat kepada pesalah jalan raya. Ini kerana perbuatan membuli jalan raya juga dianggap sebagai jenayah kerana mereka telah melakukan tindakan agresif yang melanggar peraturan lalu lintas dan boleh me-risikokan nyawa orang lain.

Seiring kemajuan teknologi terutama penggunaan kecerdasan buatan (AI), pihak berkuasa terutamanya boleh mengguna pakai kemudahan tersebut bagi meningkatkan kecekapan sistem penguatkuasaan sedia ada.

Misalnya, menambah baik penggunaan kamera litar tertutup pintar, sistem pengecaman wajah dan nombor plat automatik serta aplikasi pemantauan trafik bagi mengekang pelanggaran undang-undang jalan raya dengan lebih berkesan.

Harus diingat, bukan hanya kita seorang sahaja yang menggunakan jalan raya. Bertimbang rasalah antara satu sama lain dan elak mencetuskan provokasi sesama pengguna jalan raya lain.

* Mukhriz Mat Husin ialah Wartawan Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!