Jadilah pembuka mata, bukan pembakar jiwa

TAHUN 2025 baru melewati separuhnya, namun air mata yang tumpah di negara ini seakan tidak mahu kering. Tragedi demi tragedi silih berganti.
Ada berlaku di tengah hutan dan ada yang menggemparkan lebuh raya, tetapi menyentuh emosi berjuta warga net melalui satu paparan skrin.
Apa yang berubah ialah siapa yang menceritakan kisah. Dalam dunia kewartawanan hari ini, bukan hanya wartawan profesional yang mengangkat suara masyarakat.
Muncul satu fenomena yang disebut sebagai kewartawanan pencipta kandungan atau creator journalism, di mana orang awam kini memainkan peranan aktif dalam melaporkan, merekod dan menyebarkan maklumat melalui telefon pintar, bukan kamera berita.
Kajian Axel Bruns bertajuk Gatewatching and News Curation: Journalism, Social Media and the Public Sphere pada 2018, menyatakan bahawa batas antara pengguna dan penerbit kandungan semakin kabur.
Rakyat biasa bukan sahaja menerima berita, malah menghasilkan dan mengedarkannya.
Ini diperkukuh oleh kajian Alfred Hermida pada 2012 bertajuk Social Journalism: Exploring how Social Media is Shaping Journalism yang menyatakan bahawa media sosial telah membuka ruang kepada 'jurnalisme partisipasi' yang lebih terbuka dan responsif.
Awal Mei lalu, rakaman seekor ibu gajah yang enggan meninggalkan bangkai anaknya selepas dilanggar lori di Hutan Simpan Belum-Temenggor menjadi tular.
Ia bukan rakaman profesional tetapi hanya video dari seorang pengguna media sosial yang tersentuh namun impaknya besar.
Ia menyentuh nurani, menyedarkan tentang kasih sayang dan perlunya empati terhadap alam.
Kemudian, tragedi 13 Mei meragut sembilan nyawa anggota FRU. Gambar terakhir mereka tular terlebih dahulu sebelum media rasmi mengesahkan insiden.
Begitu juga pada 9 Jun, tragedi bas Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang mengorbankan 15 penuntut muda.
Platform media sosial menjadi medan berkabung digital. Video kenangan, mesej terakhir dan potret mereka dikongsi bukan untuk meraih tontonan, tetapi sebagai bentuk penghormatan dan solidariti.
Namun kewartawanan pencipta kandungan juga tidak sunyi daripada kontroversi.
Seorang ibu asnaf yang memuat naik video meluahkan ketidakpuasan terhadap agihan bantuan menjadi sasaran kecaman sedangkan niatnya ialah untuk memperbetulkan sistem yang dakwanya tidak sensitif terhadap keperluan anak OKU.
Dalam dunia kewartawanan pencipta kandungan, suara kecil seperti ini akhirnya sampai ke ruang besar.
Menurut John V Pavlik Pavlik dalam kajian pada 2013 bertajuk Journalism and New Media, kewartawanan digital memberi ruang kepada masyarakat marginal untuk muncul sebagai sumber maklumat utama, sekali gus mencabar sistem komunikasi tradisional.
Tetapi di sinilah pentingnya etika kewartawanan warga. Kewartawanan pencipta kandungan bukan lesen untuk menyebar sebarang maklumat tanpa asas.
Dalam keghairahan menularkan kisah, kita mesti menyoal, adakah ini benar? Adakah ini membina? Adakah ini adil?
Etika kewartawanan tetap relevan walau siapa pun yang melapor.
Dalam erti kata lain, siapa saja yang memegang ‘mikrofon digital’ harus memikul amanah menyampaikan dengan jujur dan bertanggungjawab.
Malaysia hari ini tidak hanya menangis di berita malam. Tangisan itu turut mengalir di platform media sosial, dalam komen simpati dan penstriman langsung kejadian.
Kita semua menjadi saksi dan sebahagian kita juga menjadi penyampai.
Malaysia menangis bersama dan dalam dunia hari ini, rakyat bukan hanya penonton tetapi mereka juga wartawan. Tetapi wartawan yang ada kuasa juga mesti mempunyai nilai.
Kita tidak lagi hidup di zaman di mana hanya mikrofon rasmi yang didengar.
Kini, suara dari lorong kecil, rumah flat dan skrin telefon pun mampu menggegarkan negara.
Tapi ingatlah, suara yang lantang tanpa etika hanyalah gema kosong. Biar suara kita jadi pembuka mata, bukan pembakar jiwa.
*Asmaliza Mansor ialah Sub Editor Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
