Lelaki maut dalam bas ekspres, dijangkiti bakteria pemakan daging

LAMPANG - Seorang lelaki berusia 38 tahun ditemui maut dalam sebuah bas ekspres jarak jauh di Terminal Bas Lampang pada awal pagi Isnin, dipercayai akibat jangkitan bakteria pemakan daging, yang jarang berlaku namun boleh membawa maut.
Mangsa yang menaiki bas dari Nakhon Ratchasima ke Chiang Mai ditemui tidak sedarkan diri pada jam 5.30 pagi (waktu tempatan) dan kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemeriksaan awal mendapati terdapat lebam dan pendarahan pada kaki kirinya, namun tiada kesan kecederaan akibat serangan.
Hasil bedah siasat di Hospital Lampang mendedahkan mangsa dijangkiti necrotising fasciitis, sejenis jangkitan serius yang menyebabkan kerosakan pantas pada tisu kulit, otot dan lemak.
Bakteria ini boleh memasuki badan melalui luka terbuka, gigitan serangga atau tercucuk, terutamanya jika terdedah kepada air tercemar.
Menurut seorang pakar kesihatan terkenal Thailand, bakteria ini biasanya tidak berbahaya jika berada pada kulit atau tekak, namun boleh menjadi pembunuh senyap jika memasuki sistem badan.
Ia mengeluarkan toksin yang memusnahkan tisu dalam masa singkat dan boleh menyebabkan kejutan toksik atau sepsis.
Antara gejala awal termasuk kesakitan melampau, kemerahan, bengkak, demam, loya, kulit menjadi gelap dan berbau busuk.
Jangkitan ini boleh menjadi kritikal dalam beberapa jam jika tidak dirawat segera dengan pembedahan dan antibiotik. Dalam kes teruk, pemotongan anggota badan atau amputasi mungkin diperlukan.
Nenek mangsa memaklumkan cucunya pernah terlibat dalam kemalangan motosikal selepas menghadiri program meditasi pada hujung Disember lalu dan mengalami luka serta menerima puluhan jahitan.
Ibunya pula memberitahu, anaknya pernah disahkan menghidap kayap, gegendang telinga bocor dan lumpuh muka pada Mac lalu tetapi telah pulih selepas rawatan dua bulan.
Namun ibunya tetap meragui punca kematian tersebut, mempersoalkan bagaimana anaknya boleh dijangkiti bakteria pemakan daging kerana luka-lukanya telah sembuh.
Kes ini kini menarik perhatian ramai di Thailand, sekali gus mengingatkan orang awam tentang bahaya bakteria yang jarang didengar namun amat berbahaya ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
