Lelaki maut dalam nahas babit empat kenderaan

IPOH - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan lain di Kampung Merbau Tua, Jalan Baling-Kuala Kangsar dekat Kuala Kangsar, pada Khamis.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.32 tengah hari dan nahas itu menyebabkan Megat Muhammad Ikram Megd Adeni, 33, dari Kampung Luat, Lenggong, meninggal dunia di lokasi kejadian.
"Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang tiba di lokasi tujuh minit kemudian mendapati kereta jenis Proton Waja dipandu Megat Muhammad Ikram dari arah Kuala Kangsar menghala Baling, Kedah telah bertembung dengan sebuah lori jenis Daihatsu dua tan.
"Berdasarkan maklumat orang awam, kemalangan turut melibatkan sebuah kereta jenis Honda dan sebuah Toyota Hilux," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemandu lori terbabit dan kelindannya cedera ringan manakala wanita yang memandu kereta Honda tidak mengalami kecederaan.
"Pemandu Toyota Hilux pula tidak diketahui nasibnya kerana telah ke balai polis berhampiran,” katanya.
Beliau berkata, mayat Megat Muhammad Ikram diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang cedera ringan dihantar ke hospital.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.50 petang. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
