Polis sahkan lelaki maut dalam kejadian tembak di Meru

KLANG – Seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 46 tahun ditemukan maut dalam satu kejadian tembak di Lorong Mahang 1, Taman Meru Utama, Meru, di sini, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota rondaan yang sedang bertugas berhubung kejadian tembakan yang berlaku di hadapan sebuah premis menjual motosikal kira-kira jam 3.37 petang.
Beliau berkata, sejurus menerima maklumat, sepasukan polis dikejarkan ke lokasi kejadian dan hasil siasatan awal mendapati seorang lelaki ditemukan di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Mangsa berada dalam keadaan mengiring dan berlumuran darah di tempat duduk pemandu.
“Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.
Tambah beliau, proses bedah siasat akan dijalankan pada Jumaat, jam 9.00 malam di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil untuk menyalurkan maklumat.
"Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintenden (ASP) M. Sathiyaseelan di talian 012-5197913 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
