Selepas 18 tahun mencuba Khawarizmi akhirnya bergelar juara

SHAH ALAM - Seorang lelaki tidak menyangka dirinya dinobatkan sebagai johan Sayembara Komikraf pada Rabu selepas 18 tahun mencuba nasib dalam setiap penganjuran program melukis komik di negara ini.
Khawarizmi Muhammad Mokhtar, 30, berkata, keterujaan dan kegembiraan amat dirasakan memandangkan ia merupakan kemenangan kali pertama yang diperolehnya sepanjang menyertai acara melukis komik sebelum itu.
“Saya mula aktif dalam pertandingan komik seperti ini sejak di bangku sekolah lagi iaitu pada usia 13 tahun kerana mempunyai minat yang mendalam.
“Pada 2007, itu kali pertama saya sertai pertandingan. Walaupun tidak menang, tetapi saya tetap tidak putus asa dan berhasrat untuk cuba lagi dalam acara seterusnya,” katanya kepada Sinar Harian selepas Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Komikraf di Dewan Karangkraf di sini pada Rabu.
Ujar Khawarizmi yang bekerja sendiri, setakat ini dia telah menyertai pertandingan melukis komik sebanyak tujuh kali meskipun mendepani beberapa cabaran termasuk dari segi kekangan masa dan idea.
“Dari segi persediaan, sudah tentu saya perlu fikirkan tema dan idea bagaimana yang juri mahu. Pada masa sama, saya juga perlu menampilkan keunikan dalam karya,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pertandingan tersebut mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan seramai 285 orang.
Ujar beliau, daripada jumlah berkenaan, sebanyak 76 karya melepasi peringkat tapisan juri dan 10 orang telah dipilih sebagai pemenang.
“Melalui pertandingan ini, kita akan memilih pemenang dan mencetak karya mereka sebagai buku komik.
“Istimewanya program ini adalah walaupun terdapat peserta yang tidak menang dan terpilih dalam 10 karya terbaik namun, mereka berpeluang untuk buat buku komik dengan kita.
“Mereka boleh menghantar manuskrip kepada emel syarikat dan ada syarat-syarat tertentu yang perlu mereka ikut. Jika karya bagus, kita terbitkan,” menurutnya.
Ulas Firdaus, penganjuran pertandingan berkenaan bertujuan melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam menghasilkan karya komik berkualiti untuk memenuhi kehendak pembaca.
“Peserta sama ada menang atau tidak, boleh sertai dengan menghantar manuskrip komik supaya kita boleh terbitkan untuk penganjuran Pesta Buku Kuala Lumpur (PBKL) tahun hadapan.
“Kita bercadang kalau boleh hendak terbitkan sebanyak 100 buah komik yang melibatkan pelbagai tema,” jelasnya.
Johan bagi pertandingan tersebut menerima hadiah wang tunai RM1,500 diikuti naib johan sebanyak RM1,000 dan tempat ketiga pula meraih RM500.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

