Tiada pewaris, kedai jam Swee Hing akhirnya ditutup selepas 70 tahun

KOTA BHARU – “Kami ada tiga anak, namun mereka tidak mahu mewarisi perniagaan ini. Terpaksalah lelong beribu utas jam tangan kerana kedai berusia 70 tahun ini akan ditutup sepenuhnya hujung bulan nanti.”
Demikian luahan Tan Siew Wan, 75, isteri kepada Mah Weng Kiong, 83, yang mengusahakan kedai jam tangan Swee Hing di sini sejak tahun 1955.

Menurutnya, dia dan suami mengakui sukar untuk membuat keputusan itu kerana perniagaan tersebut telah menjadi rutin harian mereka selain merupakan sumber pendapatan utama keluarga.
Namun, ujar Siew Wan, faktor usia menyebabkan mereka terpaksa menamatkan operasi kedai walaupun ramai pelanggan menyatakan rasa sedih terhadap penutupan tersebut.
“Kami dan pelanggan sudah seperti ahli keluarga kerana ada dalam kalangan mereka yang sejak dari zaman datuk, hinggalah ke cucu dan cicit, membeli dan membaiki jam di sini.
“Namun, ini keputusan terbaik kerana anak-anak kami sudah mempunyai kerjaya masing-masing. Walau sedih macam mana sekalipun, kami tetap akan tutup hujung bulan ini,” katanya.

Menurut Siew Wan lagi, mereka telah menguar-uarkan promosi jualan penutupan dengan memasang kain rentang sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri, namun ia mula tular beberapa hari lalu selepas seorang pempengaruh memuat naik hantaran di media sosial mengenai lelongan yang dijalankan.
Sejak itu, katanya, kedai mereka dibanjiri pelanggan seawal jam 10 pagi yang hadir untuk mendapatkan jam pada harga berpatutan.
Tambahnya, terdapat juga pelanggan yang datang untuk membaiki jam dan menukar bateri sehingga suaminya tidak menang tangan.
“Setakat ini, ribuan utas jam tangan, jam dinding, dan jam loceng telah habis dijual. Rasanya tidak sampai hujung bulan Jun pun kedai ini sudah boleh ditutup,” katanya.

Sementara itu, pelanggan yang juga pempengaruh media sosial, Nur Azwaadiey Rosli, 30, berkata pada awalnya dia ternampak kain rentang jualan penutupan kedai dan berhasrat untuk membeli seutas jam sebagai kenangan.
“Tetapi selepas berbual dengan tauke kedai, saya ambil keputusan untuk merakam video dan memuat naik di media sosial. Tidak sangka pula ia tular hingga kedai ini diserbu orang ramai dari jauh dan dekat, kebetulan pula waktu cuti sekolah.
“Saya sendiri pada mulanya hanya mahu beli satu, tetapi disebabkan jam berjenama dijual pada harga murah, saya beli 10 utas termasuk jam tangan dan jam dinding. Harga paling mahal RM500 dan paling murah RM20,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

