Kemboja larang import buah-buahan, sayur-sayuran Thailand

Hun Sen
Hun Sen
A
A
A

PHNOM PENH - Kemboja pada Selasa mengenakan larangan import buah-buahan dan sayur-sayuran dari Thailand di tengah-tengah krisis pertikaian sempadan hingga membawa kepada pertempuran berdarah pada akhir bulan lalu.

Langkah itu dibuat beberapa hari selepas Bangkok mengetatkan kawalan sempadan manakala Phnom Penh bertindak balas dengan mengharamkan drama dan filem Thailand serta menutup pos pemeriksaan dan memotong jalur lebar internet.

Pada Selasa, bekas pemimpin berpengaruh Kemboja, Hun Sen memberi kata dua kepada Thailand supaya menarik balik sekatan di sempadan dalam tempoh 24 jam atau bakal berdepan larangan eksport tersebut.

Tetapi, amaran itu tidak diendahkan Bangkok hingga menyebabkan ultimatum tersebut berkuat kuasa.

“Meskipun larangan itu sudah dilaksanakan, pengunjung masih boleh melintasi sempadan,” ujar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Sok Veasna.

Kemboja sudah pun mengemukakan permohonan rasmi kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk menyelesaikan pertikaian sempadan di empat kawasan tersebut.

Menurut Sen, keputusan itu dibuat kerana Phnom Penh mahukan 'keamanan' memandangkan kedua-dua negara tidak pernah mencapai kesepakatan tentang hal tersebut.

Beliau turut menggesa puluhan ribu migran Kemboja yang bekerja di Thailand supaya pulang ke tanah air kerana bimbang menjadi mangsa diskriminasi jika krisis itu berlarutan. - Agensi

Artikel Berkaitan:

------------

Info

>Krisis itu melibatkan lakaran kawasan sempadan sepanjang 800 kilometer digelar Segitiga Zamrud yang dibuat pada awal abad ke-20 ketika penjajahan Perancis di Indochina.

>Sebelum ini, Kemboja pernah memohon bantuan ICJ berhubung pertikaian wilayah melibatkan sebuah kuil. Pada 1962, tribunal antarabangsa itu memutuskan Kuil Preah Vihear sebagai milik Phnom Penh. Pada 2013, ICJ juga memberikan kawasan bersebelahan kuil itu kepada Kemboja, namun ditolak Thailand.

>Sejak 2008, keganasan di sempadan itu telah menyebabkan 28 kematian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!