Kecualikan buah-buahan rakyat daripada SST

Makan sebiji epal setiap hari mampu menjauhkan diri daripada doktor. Foto hiasan 123RF
Makan sebiji epal setiap hari mampu menjauhkan diri daripada doktor. Foto hiasan 123RF
A
A
A

MAKAN sebiji epal setiap hari mampu menjauhkan diri daripada doktor. Pepatah lama ini sewajarnya sudah cukup untuk kerajaan mempertimbang semula pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak lima peratus ke atas buah-buahan import bermula 1 Julai ini.

Walaupun Malaysia mengeluarkan buah tempatan yang mencukupi dan dikecualikan daripada SST, buah import seperti epal dan oren turut menjadi sumber penting nutrien semula jadi kepada rakyat marhaen.

Apatah lagi, bukan semua buah-buahan tropika dihasilkan dalam negara. Pada tiga bulan pertama tahun ini, Malaysia membawa masuk RM27 juta bekalan buah mangga, pisang (RM19 juta), tembikai (RM15 juta) dan mata kucing (RM14 juta), yang selepas ini akan dicukai kerana termasuk dalam kategori buah import.

Kita seharusnya menggalakkan rakyat mengambil lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran bagi membantu mengurangkan beban ke atas perkhidmatan kesihatan awam, yang pada 2025 memerlukan RM45.3 bilion bagi menaik taraf prasarana kesihatan, rawatan penyakit kritikal, dan program penjagaan kesihatan.

Secara purata, rakyat Malaysia mengambil hanya 63 kilogram (kg) buah-buahan setahun, jauh daripada sasaran 400kg yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Antara sebabnya ialah faktor harga dan kurangnya kesedaran.

Menurut WHO, pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang rendah menjadi punca 2.7 juta kematian di seluruh dunia setiap tahun, selain menyumbang kira-kira 31 peratus daripada penyakit jantung dan 11 peratus strok.

Banyak bukti menunjukkan buah-buahan boleh mengurangkan risiko penyakit. Buah epal contohnya, baik untuk penderita diabetes kerana ia membantu mengawal kadar glukosa ekoran kandungan indeks glisemiknya yang rendah. Epal juga dipercayai bagus untuk mengelakkan penyakit kanser jika diambil sehari sekali.

Kita menyokong usaha kerajaan untuk menambah pendapatan negara menerusi SST termasuk mengenakan cukai ke atas buah-buahan mewah seperti avokado dan anggur, tetapi biarlah 'buah-buahan rakyat' ini dikecualikan cukai SST.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana buah-buahan import seperti oren, epal, pear dan pisang adalah makanan kesihatan yang dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk M40 dan B40. Ia bukan makanan orang kaya tetapi boleh dikatakan sebagai makanan rakyat biasa zaman-berzaman.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!