Ambil tindakan tegas terhadap peniaga vape langgar undang-undang - MCTC

Murallitharan.
Murallitharan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas termasuk penggantungan lesen, denda maksimum serta pendakwaan di mahkamah terhadap peniaga vape yang melanggar undang-undang di bawah Akta Kawalan Produk Merokok untuk Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).

Presiden Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr M. Murallitharan berkata, pihaknya menerima banyak laporan melalui platform pemantauan termasuk ‘Jom Masuk’ mengenai pelbagai pelanggaran yang dilakukan oleh peniaga vape.

Menurut beliau, antara pelanggaran undang-undang itu termasuk pengiklanan dan promosi produk vape secara terbuka, termasuk melalui media sosial dan dalam talian yang menyasarkan golongan muda, penjualan produk merokok kepada individu bawah umur serta penggunaan bahan terlarang atau tidak berdaftar dalam cecair rokok elektronik.

“Situasi ini menunjukkan kelemahan dari segi penguatkuasaan dan pemahaman pelbagai pihak terhadap takrif dan ruang lingkup penguatkuasaan Akta 852.

“Tindakan segelintir peniaga dan syarikat yang masih mengiklankan dan menjual produk merokok secara agresif, termasuk menggunakan taktik pemasaran gaya hidup, jelas bertentangan dengan semangat dan peruntukan undang-undang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, kata Murallitharan, MCTC menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkat koordinasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pihak berkuasa tempatan serta agensi penguat kuasa lain bagi memantau dan mengambil tindakan segera terhadap sebarang pelanggaran.

“KKM juga digesa memberikan penjelasan rasmi berhubung status peranti yang digunakan bersama produk tembakau agar tidak timbul kekeliruan dari sudut perundangan,” katanya.

Beliau turut menggesa agar kerajaan negeri lain mencontohi tindakan berani Kerajaan Negeri Pahang dalam menangani ancaman vape yang semakin serius, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar.

MCTC juga, katanya, mengalu-alukan langkah tegas Kerajaan Negeri Pahang untuk menghentikan penjualan rokok elektronik melalui larangan pelesenan premis perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan, selaras dengan penguatkuasaan fatwa pengharaman vape oleh Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri serta titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Artikel Berkaitan:

“Kami percaya tindakan kolektif, tegas dan menyeluruh adalah kunci kepada kejayaan penguatkuasaan Akta 852 dan pencapaian matlamat Malaysia Bebas Rokok 2040. Kesihatan awam adalah tanggungjawab bersama,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!