Iran gesa negara Islam ambil tindakan kolektif terhadap Israel

Abbas Araqchi Foto AFP
Abbas Araqchi Foto AFP
A
A
A

TEHERAN - Menteri Luar Iran, Abbas Araqchi menggesa negara-negara Islam supaya mengambil tindakan kolektif terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel yang semakin meningkat, sambil menegaskan hak Iran untuk mempertahankan diri susulan pencerobohan ketenteraan baru-baru ini.

Dalam perbualan telefon dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Hissein Brahim Taha pada Ahad, Araqchi mengucapkan terima kasih atas kecaman terhadap pencerobohan Israel ke atas Iran, sambil menyifatkan serangan itu sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta satu ancaman serius terhadap kestabilan serantau dan global.

“Ketiadaan tindakan hanya akan menggalakkan lebih banyak pencerobohan dan jenayah,” kata Araqchi, sambil menegaskan kesediaan Iran untuk mempertahankan kedaulatannya.

Setiausaha Agung OIC turut menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap peningkatan serangan ketenteraan oleh Israel dan memaklumkan bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan PBB bagi menggerakkan sokongan antarabangsa serta mengelakkan ketidakstabilan lanjut di rantau tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, ketika berucap di hadapan para duta, pegawai dan ketua perwakilan asing di Tehran pada Ahad, Araqchi menegaskan bahawa Iran tidak mahu konflik melangkaui sempadannya.

Beliau menekankan bahawa serangan peluru berpandu Iran ke atas Israel adalah tindakan mempertahankan diri yang sah dan akan dihentikan sekiranya Israel menghentikan serangan.

“Teluk Parsi adalah sebuah rantau yang sangat sensitif dan kompleks, dan sebarang perkembangan ketenteraan di situ boleh memberi kesan bukan sahaja kepada rantau ini, bahkan kepada dunia,” katanya.

Araqchi turut menyifatkan serangan udara Israel sejak Jumaat lalu sebagai tindakan pencerobohan luar biasa, termasuk terhadap kemudahan nuklear Natanz serta kawasan kediaman di Tehran dan beberapa bandar lain di Iran.

Artikel Berkaitan:

“Israel tidak mengiktiraf sempadan,” katanya sambil merujuk kepada pembunuhan profesor universiti, saintis nuklear dan komander tentera Iran.

Beliau turut mengkritik sikap tidak peduli dan reaksi berat sebelah masyarakat antarabangsa, terutamanya dalam kalangan negara Eropah yang didakwa mengecam Iran walaupun pencerobohan dimulakan oleh Israel.

Araqchi menjelaskan bahawa tindak balas awal Iran hanya menyasarkan lokasi ketenteraan. Namun, selepas Israel melancarkan serangan ke atas kemudahan ekonomi Iran, Tehran bertindak balas dengan menyerang sasaran ekonomi Israel termasuk kilang penapisan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para diplomat yang hadir atas kecaman mereka terhadap tindakan Israel serta solidariti yang ditunjukkan terhadap Iran, sambil menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa bagi menghentikan pencerobohan rejim Zionis itu. - Bernama-IRNA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!