NGO bantah perlombongan di KSAS Tahap 2 Perak

IPOH – Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar tampil membantah cadangan pengubahan Kelas Guna Tanah (KGT) yang membenarkan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 2 di Daerah Manjung dan Kerian, Perak.
Bantahan tersebut dikemukakan oleh Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS), dan Pertubuhan Sahabat Ekologi Perak (SEP) dalam sesi pendengaran awam bersama Jawatankuasa Siasatan Tempatan dan Pendengaran Awam (JSTP) pada Isnin.
Sesi itu berkait dengan Draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Manjung 2030 (Pengubahan 6) dan Draf RTD Kerian 2035 (Pengubahan 2).
Jurucakap NGO terbabit, Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, cadangan tersebut melibatkan penambahan dan pindaan guna tanah kepada kategori perindustrian iaitu perlombongan dan pengkuarian yang turut merangkumi kawasan marin di dua daerah berkenaan.
“Kami berpandangan bahawa langkah ini bakal memberi kesan negatif secara langsung dan tidak langsung kepada alam sekitar serta sosioekonomi masyarakat setempat.
“KSAS Tahap 2 walaupun belum diwartakan sebagai kawasan perlindungan, mempunyai nilai biodiversiti yang setara dengan KSAS Tahap 1 yang telah diwartakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa negeri meneliti semula dan membatalkan cadangan pengubahan KGT tersebut demi kelestarian alam sekitar di Perak.
Jelasnya lagi, pihak berkuasa negeri juga perlu mewartakan KSAS Tahap 2 sebagai kawasan perlindungan, misalnya sebagai Hutan Simpanan Kekal, manakala kawasan pendaratan penyu pula perlu dilindungi di bawah Kanun Tanah Negara atau Akta Warisan Kebangsaan.
Terdahulu, kesemua NGO terbabit telah mengemukakan bantahan rasmi melalui borang penyertaan awam semasa sesi seranta yang diadakan pada April lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

