Iran hukum gantung perisik Israel

TEHERAN - Badan Kehakiman Iran pada Isnin memaklumkan ia melaksanakan hukuman gantung ke atas seorang lelaki yang disabit bersalah kerana menjadi perisik kepada unit risikan Mossad.
"Esmaeil Fekri dikenakan hukuman tersebut selepas melalui proses penuh prosedur jenayah dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Agung," menurut laman web Mizan Online.
Sementara itu, Ketua Hakim, Gholamhossein Mohseni Ejei berikrar untuk mengadakan perbicaraan segera ke atas individu yang ditahan atas kesalahan bersekongkol dengan rejim Tel Aviv.
"Kita tidak akan melengah-lengahkan proses undang-undang. Hukuman akan dibuat seadil-adilnya berdasarkan situasi perang," lapor agensi berita Tasnim memetik kenyataannya.
Ejen Mossad dikatakan bergerak secara aktif di Teheran dan merekrut rakyat tempatan untuk melakukan pengintipan dan perbuatan sabotaj. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!