Konflik Iran-Israel: 24 terbunuh, ratusan peluru dan dron dilepaskan

TEL AVIV – Iran melancarkan gelombang baharu serangan peluru berpandu ke atas Israel awal pagi Isnin, mencetuskan amaran serangan udara di seluruh negara berkenaan dengan pihak berkuasa kecemasan mengesahkan sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.
Portal CBC melaporkan bahawa konflik yang kini memasuki hari keempat antara dua seteru serantau itu terus memuncak, dengan jumlah korban di Israel mencecah sekurang-kurangnya 24 orang setakat ini.
Menurut Duta Amerika Syarikat (AS), Mike Huckabee, menerusi hantaran di platform X, salah satu peluru berpandu dilaporkan jatuh berhampiran Konsulat AS di Tel Aviv, menyebabkan kerosakan kecil namun tiada kecederaan dilaporkan melibatkan kakitangan diplomatik negara itu.
Dalam kenyataan rasmi, Iran mengesahkan telah melancarkan kira-kira 100 peluru berpandu sebagai tindak balas terhadap serangan besar-besaran Israel ke atas infrastruktur tentera dan nuklearnya yang didakwa telah mengorbankan sekurang-kurangnya 224 nyawa sejak Jumaat lalu.
Sebelum serangan balas Iran, agensi perisikan Israel, Mossad, dilaporkan telah menempatkan dron letupan dan senjata berketepatan tinggi di dalam wilayah Iran. Beberapa individu turut ditahan oleh pihak berkuasa Iran atas dakwaan menjalankan aktiviti pengintipan.
Pada Isnin, seorang doktor dikenali sebagai Esmail Fekri, yang sebelum ini dipenjarakan sejak 2023 atas kesalahan membekalkan maklumat sulit kepada Mossad, dilaporkan telah dihukum gantung oleh pihak berkuasa Iran.
Sementara itu, tentera Israel memaklumkan bahawa sebanyak 370 peluru berpandu dan ratusan dron telah dilancarkan oleh Iran, mengakibatkan lebih 500 orang cedera. Sebagai tindak balas, Israel mendakwa pesawat pejuangnya telah mengebom 10 pusat komando milik Pasukan Quds cabang elit Pengawal Revolusi Iran yang menjalankan operasi ketenteraan dan risikan di luar negara.
Pihak berkuasa di bandar Petah Tikva pula mengesahkan sebuah bangunan kediaman terkena serangan, menyebabkan kebakaran pada struktur konkrit, tingkap pecah dan sebahagian binaan runtuh.
“Jelas sekali orang awam menjadi sasaran,” kata jurucakap polis Israel, Dean Elsdunne di lokasi kejadian.
Seorang penduduk, Yoram Suki, 60, berkata beliau sempat menyelamatkan diri bersama keluarga ke tempat perlindungan selepas terdengar amaran serangan udara.
“Syukur kami selamat,” katanya. Walaupun rumahnya musnah, beliau tetap menyatakan sokongan terhadap tindakan kerajaan.
“Ini semua berbaloi demi masa depan anak dan cucu kami,” ujarnya.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyatakan bahawa negaranya bersedia menghentikan serangan sekiranya Israel mengambil langkah serupa.
Namun, selepas Israel melancarkan serangan udara intensif yang turut menyasarkan kilang minyak dan bangunan kerajaan di Iran, Pasukan Pengawal Revolusi Iran memberi amaran bahawa serangan seterusnya akan lebih “kuat, tepat dan memusnahkan”.
Pihak berkuasa kesihatan Iran pula melaporkan sebanyak 1,277 individu cedera, namun tidak memperincikan jumlah yang terdiri daripada orang awam atau tentera.
Kumpulan hak asasi manusia, Human Rights Activists yang berpangkalan di Washington mendakwa angka sebenar korban di Iran melebihi 400, termasuk 197 orang awam.
Sementara itu, pasukan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) melaporkan lima lagi kematian termasuk dua wanita dan dua lelaki berusia lingkungan 70-an serta seorang individu lain dalam serangan yang mengenai empat lokasi berbeza di Israel tengah.
Pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan, manakala 87 orang cedera telah dibawa ke hospital, termasuk seorang wanita berusia 30 tahun yang dilaporkan parah. – Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
