Israel serang secara biadab, dunia perlu bertindak - Anwar

KUALA LUMPUR – Kuasa-kuasa besar dunia termasuk negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS) digesa bertindak tegas bagi menghentikan tindakan ketenteraan Israel terhadap negara-negara jiran di Timur Tengah.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Israel menyerang secara biadab dan ganas ke atas enam hingga tujuh buah negara lain sebagai tidak boleh diterima sama sekali.
Justeru, beliau menegaskan bahawa tindakan balas oleh Iran perlu difahami dalam konteks mempertahankan kedaulatan negara mereka.
“Yang pertama kita harus tahu, bagaimana boleh satu negara secara biadab dan ganas menyerang semua negara jiran.
“Sebab itu, kita faham mengapa Iran terpaksa melakukan serangan balas untuk mempertahankan negara mereka,” katanya pada sidang media sempena Persidangan Energy Asia 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini pada Isnin.
Anwar turut menyatakan bahawa Malaysia, bersama masyarakat antarabangsa, kekal konsisten dalam usaha meleraikan konflik dan mencapai keamanan segera di rantau tersebut.
“Kita ingin menggesa negara-negara Eropah dan Amerika, semua negara bekerja untuk memaksa Israel menghentikan (serangan), dan dengan itu, Iran juga menghentikan segala serangan balas,” tegas beliau.
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tiada kesan ketara terhadap aliran perdagangan mahupun bekalan tenaga negara susulan konflik tersebut, walaupun terdapat kebimbangan dalam kalangan syarikat antarabangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

