Eisenkot diberi mandat bentuk kerajaan baharu, Netanyahu berdepan cabaran

Gadi Eisenkot, pemimpin Parti Yashar yang diberi mandat membentuk kerajaan baharu Israel bagi menggantikan Benjamin Netanyahu.
Sumber gambar: ICT / Wikimedia Commons
Gadi Eisenkot, pemimpin Parti Yashar yang diberi mandat membentuk kerajaan baharu Israel bagi menggantikan Benjamin Netanyahu. Sumber gambar: ICT / Wikimedia Commons
A
A
A

JERUSALEM - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berdepan cabaran politik selepas pesaing utamanya, Gadi Eisenkot diberi mandat membentuk kerajaan baharu negara itu, sekali gus membuka peluang untuk menyingkirkan pemimpin paling lama berkhidmat itu.

Menurut laporan CNN, Eisenkot, bekas ketua tentera yang mengetuai Parti Yashar berhaluan tengah dalam pilihan raya 27 Oktober lalu, mempunyai tempoh sehingga enam minggu untuk membentuk gabungan bagi menggantikan Netanyahu.

Presiden Israel, Isaac Herzog dijadual menyerahkan mandat rasmi kepada Eisenkot pada Ahad selepas mengadakan rundingan selama dua hari minggu lalu dengan semua parti yang memenangi kerusi di Knesset.

Eisenkot memperoleh sokongan 67 anggota Knesset termasuk 19 wakil daripada dua parti Arab, manakala Netanyahu menerima hanya 46 pencalonan.

Keretakan dalam blok penyokong Netanyahu turut terserlah apabila United Torah Judaism, sekutu tradisinya, enggan mencalonkan beliau.

Bagaimanapun, keputusan Herzog tidak bermakna Netanyahu secara automatik kehilangan kuasa kerana Eisenkot masih belum mempunyai gabungan kerajaan meskipun memperoleh sokongan majoriti anggota Parlimen.

Eisenkot mahu membentuk apa yang disifatkannya sebagai kerajaan darurat nasional dengan menubuhkan kerajaan minoriti secepat mungkin.

Kerajaan itu akan merangkumi empat parti pembangkang Yahudi yang mempunyai keseluruhan 48 kerusi iaitu Yashar, Together yang diketuai bekas perdana menteri Naftali Bennett dan Yair Lapid, Yisrael Beiteinu pimpinan Avigdor Liberman serta Democrats berhaluan kiri yang diketuai Yair Golan.

Eisenkot menetapkan empat syarat kepada parti yang mahu menyertai kerajaan, iaitu mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi, demokratik, liberal dan saksama; komitmen terhadap nilai Deklarasi Kemerdekaan; perkhidmatan sejagat sama ada ketenteraan, kebangsaan atau awam; serta mengiktiraf Hamas sebagai organisasi pengganas.

Artikel Berkaitan:

Syarat terakhir itu secara berkesan menolak kemungkinan parti Arab menyertai Kabinet, namun mereka masih boleh menyokong kerajaan dari luar sebagai jaminan sokongan di Parlimen.

Undang-undang Israel hanya memerlukan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, manakala usaha menjatuhkan kerajaan lebih sukar kerana memerlukan sokongan mutlak sekurang-kurangnya 61 anggota Knesset yang menyokong kerajaan alternatif daripada keseluruhan 120 kerusi.

Halangan utama Eisenkot ialah Liberman yang menolak sebarang kerajaan bergantung kepada sokongan parti Arab.

Liberman berhujah kerajaan minoriti hanya akan bertahan dalam tempoh singkat dan akhirnya mengukuhkan semula kedudukan Netanyahu.

“Kita akan menyaksikan Netanyahu kembali dengan 70 kerusi untuk tempoh empat tahun lagi, dan dari situ hanya selangkah menuju kemusnahan,” tulis Liberman di platform X pada Jumaat.

Sebaliknya, Liberman mencadangkan supaya usaha maksimum dilakukan untuk membentuk gabungan 61 anggota Parlimen bersama dua parti ultra-Ortodoks, Shas dan United Torah Judaism, tanpa Joint List dan Ra'am.

Beliau turut mencadangkan kemungkinan tiga atau empat anggota Parlimen daripada parti Likud berpaling tadah selepas gabungan itu dibentuk. -  CNN

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!