Barat mula 'campur tangan' di Asia Barat

WASHINGTON - Angkatan Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) mula 'campur tangan' dalam perang terbuka Iran-Israel apabila ia melaksanakan penempatan besar-besaran pesawat tangki pengisian bahan api udara merentasi Lautan Atlantik yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Data penjejakan penerbangan FlightRadar24 menunjukkan jumlah pesawat tangki bahan api, KC-135 dan KC-46 terus meningkat dengan kira-kira 30 buah bergerak menghala ke timur pada lewat malam Ahad.
Pentagon juga dilaporkan menggerakkan dua kapal pemusnah menuju ke Mediterranean Timur ketika Iran dan Israel terus berbalas serangan agresif untuk tempoh tiga hari berturut-turut.
Pegawai Jabatan Pertahanan AS memaklumkan kapal-kapal itu yang berupaya menangkis serangan peluru berpandu balistik dan misil cruise sudah pun ditempatkan di Asia Barat sebelum ini.
Menurutnya, penempatannya itu kononnya untuk memperkukuh keselamatan tambahan untuk aset-aset AS di rantau tersebut selain menyokong Tel Aviv.
Pada Oktober lalu, kapal perang AS turut memainkan peranan sama ketika krisis tercetus antara Iran dan Israel.
Ketika kempen pengeboman menyasarkan pejuang Huthi di Yemen pada musim bunga lalu, Pentagon mengerahkan beberapa aset mereka ke Asia Barat.
Ia termasuk dua bateri pertahanan misil dari Asia dan peluru berpandu Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD).
Dalam perkembangan berkaitan, Britain turut mengumumkan pengerahan aset tentera milik mereka termasuk jet pejuang ke rantau tersebut.

Perdana Menteri, Keir Starmer mengulangi gesaan supaya kedua-dua pihak bertelagah meredakan ketegangan tersebut.
"Ia adalah sebagai sokongan luar jangka di Asia Barat. Kami masih mengadakan rundingan bersama sekutu kami untuk menilai pelan seterusnya berdasarkan situasi terkini," katanya yang mengiyakan 'campur tangan' Barat dalam konflik itu seperti yang diberikan kepada Israel pada April dan Oktober lalu.
Susulan intervensi tersenut, Iran bertindak memberi amaran tegas kepada Britain, Perancis dan AS bahawa kapal dan pangkalan mereka bakal jadi 'sasaran yang sah' jika tetap berdegil mahu memberi sokongan kepada operasi ketenteraan musuh mereka itu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

