Iran lancar serangan balas, Israel terjejas

Asap tebal kelihatan dari sebuah lokasi di bandar Haifa pada 16 Jun 2025 susulan serangan peluru berpandu terbaharu dari Iran. -AFP
Asap tebal kelihatan dari sebuah lokasi di bandar Haifa pada 16 Jun 2025 susulan serangan peluru berpandu terbaharu dari Iran. -AFP
A
A
A

BAITULMAQDIS - Tentera Israel memberi amaran awal pada pagi Isnin bahawa satu lagi serangan peluru berpandu dari Iran sedang menuju ke wilayah mereka, selepas beberapa letupan kuat kedengaran di Baitulmaqdis dan kebakaran dilaporkan berlaku berhampiran bandar pesisir Haifa.

Dalam kenyataan melalui Telegram, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata, mereka telah mengenal pasti peluru berpandu dilancarkan dari Iran ke arah Israel dan sedang mengaktifkan sistem pertahanan udara untuk memintas ancaman tersebut.

Rakaman video menunjukkan sistem pertahanan udara aktif di langit Baitulmaqdis, manakala wartawan AFP di lokasi turut melaporkan bunyi dentuman kuat.

Firma keselamatan maritim British, Ambrey, mengesahkan kebakaran berlaku di loji kuasa berhampiran pelabuhan Haifa, dengan dua peluru berpandu hipersonik dikesan menghentam kawasan itu selepas Israel gagal memintas sepenuhnya serangan tersebut.

Menurut laporan Al Jazeera yang memetik perkhidmatan ambulans Magen David Adom, seramai 29 orang cedera dalam serangan itu – tiga daripadanya dalam keadaan sederhana, manakala selebihnya mengalami kecederaan ringan.

Stesen penyiaran awam Israel, Kan melaporkan sekurang-kurangnya empat kawasan di wilayah tengah Israel terkena impak langsung dalam serangan terbaharu itu.

Dalam satu kenyataan balas, jurucakap tentera Iran, Kolonel Reza Sayyad memberi amaran keras kepada Israel agar meninggalkan wilayah Palestin yang didudukinya kerana “ia tidak lagi selamat didiami”.

Jumlah korban di Iran meningkat kepada 224 orang termasuk 70 wanita dan kanak-kanak, selepas serangan udara Israel pada Ahad menyasarkan kawasan kediaman di pusat bandar Mashhad dan Tehran.

Artikel Berkaitan:

Turut terkorban ialah Ketua Perisikan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) dan dua jeneral kanan lain.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menuduh Iran menyasarkan orang awam secara sengaja.

“Iran akan membayar harga yang sangat mahal atas pembunuhan wanita dan kanak-kanak secara terancang ini,” katanya ketika melawat tapak serangan peluru berpandu di Bat Yam berhampiran Tel Aviv.

Dalam perkembangan lain, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan menghalang rancangan Israel untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei. Seorang pegawai kanan AS memberitahu Reuters bahawa Trump memberi amaran keras kepada Israel supaya tidak meneruskan misi tersebut.

Trump menegaskan bahawa Washington tidak terlibat dalam kempen pengeboman Israel tetapi memberi amaran bahawa tentera AS akan bertindak balas sepenuhnya jika Iran menyasarkan kepentingan Amerika.

Beliau turut mencadangkan agar konflik ini diselesaikan melalui rundingan dan membuka kemungkinan Presiden Rusia, Vladimir Putin menjadi orang tengah.

Walaupun AS menafikan terlibat secara langsung, Perdana Menteri Israel mendakwa juruterbang AS membantu memintas dron ke Israel, manakala Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan mereka mempunyai bukti kukuh bahawa AS membantu Israel dalam serangan tersebut.

Akibat serangan yang berterusan, Iran membatalkan rundingan nuklear yang dijadualkan dengan AS, menyifatkan perbincangan sebagai “tidak bermakna” selagi mereka terus diserang.

Media Iran juga melaporkan dua suspek ditahan kerana disyaki menjadi perisik untuk Mossad, manakala pihak Israel mendakwa menahan dua individu berkait dengan perisikan Iran.

Konflik ini kini semakin melarat, menjejaskan bukan sahaja Israel dan Iran tetapi juga negara-negara jiran seperti Syria – dengan tekanan antarabangsa yang semakin meningkat agar kedua-dua negara menamatkan permusuhan segera. -AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!