X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia mahu selesai segera isu eksport kelapa sawit dengan India

Khairuddin (duduk, tengah) menjawab soalan pemberita pada sidang akhbar di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komiditi, Putrajaya di sini hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menyasarkan untuk menyelesaikan segera isu eksport kelapa sawit dengan India iaitu selewat-lewatnya dalam tempoh sebulan mulai sekarang.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, sepasukan delegasi akan dihantar ke India secepat mungkin bagi menambah baik hubungan kedua-dua negara.

Katanya, buat permulaan kementeriannya juga telah mencadangkan agar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk melawat negara itu dan perkara itu turut disebut dalam mesyuarat Kabinet yang pertama pagi tadi.

"Kebetulan dalam mesyuarat Kabinet tadi, Tan Sri Muhyiddin sebut Perdana Menteri India antara pemimpin dunia yang paling awal mengucapkan tahniah kepada beliau.

"Ini satu permulaan yang baik untuk kita merundingkan perkara itu dan saya harapkan kita dapat membina kembali hubungan dengan India lebih jauh lagi khususnya yang melibatkan eksport kelapa sawit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Putrajaya di sini hari ini sempena hari pertama beliau memulakan tugas menerajui kementerian itu.

Sebelum ini, India yang merupakan pengguna minyak masak terbesar dunia melakukan sekatan ke atas pembelian minyak sawit dari Malaysia tahun ini selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengkritik dasar baharu New Delhi ke atas Kashmir.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, isu sawit itu adalah satu isu yang besar kerana rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada kerajaan baharu.

Katanya, kementeriannya juga akan membuka pasaran baharu eksport kelapa sawit yang menyasarkan India dan Timur Tengah dan memperluaskan lagi eksport ke Amerika Syarikat.

Tambah Khairuddin, selain isu sawit yang menjadi keutamaan, pihaknya juga akan menumpukan isu getah yang harga pasarannya dilihat mampu ditingkatkan lagi.

"Kalau sekarang kadar harga pasarannya RM2.50 sekilogram kalau ada peluang untuk kita naikkan lagi harganya, kita akan tengok dan minta kementerian kaji mengenainya.

"Keutamaan kita adalah untuk beri yang terbaik kepada penoreh getah kerana berdasarkan statistik negara memiliki seramai 1 juta pekebun kecil," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!