Malaysia rugi RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MEMBUAT anggaran kesan sebenar rasuah kepada masyarakat adalah tugas yang berat dan sukar, kerana kesannya yang mendalam, luas dan sistematik ke atas pelbagai sudut sosioekonomi sesebuah negara. Walau bagaimanapun, anggaran konservatif sudah dapat memberi gambaran yang membuka mata dan menggegarkan jiwa.

Sebagai salah satu cara untuk menganggarkan kerugian kewangan akibat rasuah dan ketirisan, EMIR Research menggunakan pendekatan yang serupa dengan kajian Dreher, Kotsogiannis dan McCorriston pada tahun 2007.

Dreher bersama rakan sekerjanya menggunakan model persamaan struktur (structural equation modelling) untuk membina indeks rasuah kardinal (nombor yang menyatakan kuantiti) untuk kira-kira 100 negara dan akhirnya mengira ukuran kerugian akibat rasuah sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita.

Pertama, rasuah dianggap sebagai pembolehubah tersirat/tertutup (tidak boleh diperhatikan), dan para penyelidik mendapat ukurannya (indeks rasuah kardinal) dengan membuat model yang menghubungkan antara pembolehubah tersirat ini dengan punca dan penunjuk yang boleh diperhatikan (contohnya, KDNK per kapita; sekatan kawalan modal; pembangunan kewangan melalui proksi kredit swasta sebagai bahagian KDNK; dan penggunaan simen bagi mengambil kira projek di mana skop/potensi rasuah adalah tinggi).

Kemudian, dengan menanda aras indeks kepada anggaran kerugian akibat rasuah daripada sumber luar (kos penubuhan perniagaan baru sebagai peratusan KDNK per kapita), kumpulan penyelidik ini dapat memperoleh nilai bagi setiap negara dari segi kerugian sebagai peratusan KDNK per kapita yang timbul akibat rasuah.

EMIR Research menggunakan teknik pemodelan Rasch yang lebih ketat berbanding model persamaan struktur, untuk menukar beberapa petunjuk tahap rasuah yang diiktiraf di peringkat global, seperti Indeks Persepsi Rasuah, Indeks Kawalan Rasuah dan lain-lain (lihat Rajah 1 untuk butiran), menjadi ukuran rasuah yang linear, seperti indeks rasuah kardinal dalam kajian oleh Dreher et al.

Seterusnya, EMIR Research menanda aras ukuran rasuah yang diterbitkan oleh Rasch ini terhadap anggaran kerugian yang dilaporkan secara terbuka berkaitan rasuah dan ketirisan sebagai peratusan KDNK bagi 65 negara dari tahun 1996-2022 (Rajah 1). Rajah 1 menunjukkan hubungan yang sangat jelas (log-linear) di mana kesan (kos) rasuah dan ketirisan sebagai peratusan KDNK meningkat dengan cepat apabila tahap rasuah negara meningkat.

Garis regresi (regression line) dalam Rajah 1 boleh menganggarkan kos rasuah dan ketirisan sebagai peratusan KDNK untuk tahun dan negara tertentu, dengan mengetahui ukuran rasuah terbitan Rasch, yang telah dikira oleh EMIR Research seperti yang dijelaskan di atas.

No Image Caption

Data atau sumber maklumat lain yang dilaporkan secara umum atau terbuka mengenai rasuah, khususnya di Malaysia turut boleh digunakan.

Seperti yang dilaporkan dalam 'Program Transformasi Kerajaan' dibawah pentadbiran Najib Razak pada 2010, purata rasuah di Malaysia adalah sekitar 1 peratus hingga 2 peratus daripada KDNK atau RM10 bilion setahun berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Angka ini nampaknya amat jauh di bawah kos purata rasuah global dalam peratusan anggaran KDNK dalam Rajah 1, iaitu kira-kira hanya 10 peratus, manakala, pada masa yang sama, berdasarkan anggaran EMIR Research menggunakan teknik Rasch, Malaysia berlegar di sekitar tahap rasuah purata global sepanjang tempoh dari 2000 hingga 2010 (rujuk Rajah 2).

No Image Caption

Selain itu, kajian oleh Dreher dan rakan sekerja melaporkan angka yang lebih ketara bagi kesan (kos) rasuah kepada ekonomi Malaysia sepanjang tahun 1980–1997. Menurut anggaran mereka, kos rasuah Malaysia, yang dinyatakan sebagai peratusan KDNK per kapita, sepanjang 1980–1997 kekal pada kira-kira 48 peratus. Sebagai perbandingan, di negara paling kurang rasuah dalam senarai seperti Norway dan Denmark, dalam tempoh yang sama kos rasuah masing-masing berkurangan daripada 32.44 peratus dan 29.78 peratus pada tahun 1980, kepada 11.2 peratus dan 11.92 peratus, dalam 1997 (Jadual 1).

No Image Caption

Namun, walaupun angka dua peratus yang dicatatkan Malaysia ketika awal tahun 2000 kelihatan dipandang remeh (anggaran yang rendah), marilah kita tetap gunakan data ini sebagai angka yang dilaporkan secara umum.

Oleh itu, EMIR Research mengandaikan bahawa bermula dari tahun 1997 hingga 2010, Malaysia telah mengalami kerugian ekonomi mencecah 2 peratus daripada KDNK akibat rasuah, memandangkan anggaran yang lebih rendah ini.

Data lain yang dilaporkan secara terbuka ialah oleh Transparency International Malaysia (TI-M) dan Bank Dunia.

Menurut anggaran TI-M dan Bank Dunia, Malaysia kehilangan hampir 4 peratus daripada KDNK setiap tahun sejak 2013 disebabkan amalan rasuah dan korupsi. Peningkatan daripada 2 peratus pada tahun 2010 kepada 4 peratus pada tahun 2013 menandakan peningkatan tahunan sebanyak 26 peratus.

No Image Caption

Oleh itu, rasuah pada tahun 2011 ialah 2.25 peratus dan pada 2012 ialah 3.17 peratus (Jadual 2). Dan, memandangkan rasuah dalam jumlah yang besar telah ditemui di bawah pentadbiran Najib Razak dan juga baru-baru ini, dinamik pertumbuhan tahunan sebanyak 26 peratus ini dipercayai akan berterusan walaupun pada kadar yang lebih rendah pada tahun-tahun akan datang.

Menariknya, angka pertumbuhan 26 peratus ini bertepatan dengan laporan oleh PricewaterhouseCoopers (PwC). Laporan PwC pada tahun 2016 menunjukkan kegiatan sogokan dan rasuah di kalangan syarikat swasta di Malaysia meningkat daripada 19 peratus pada tahun 2014 kepada 30 peratus pada tahun 2016, di mana ia sekali lagi menunjukkan kenaikan tahunan sebanyak 25.7 peratus.

Dengan menggabungkan semua angka ini (Jadual 2), kita boleh menganggarkan keseluruhan kesan (kos) terhadap ekonomi Malaysia akibat rasuah sepanjang tempoh 26 tahun yang lalu ialah sebanyak RM2.3 trilion.

Lebih menarik lagi, angka yang hampir sama, iaitu RM2.2 trilion (Jadual 3), dapat diperoleh menggunakan kaedah penanda aras berdasarkan data berkaitan rasuah di peringkat global (rujuk semula Rajah 1). Sememangnya, data global seperti yang yang dilaporkan oleh pihak berkuasa kerajaan juga merupakan anggaran yang sangat konservatif.

No Image Caption

Jumlah angka kerugian kewangan masih boleh menjadi jauh lebih tinggi disebabkan kesan pengganda pelaburan, yang merujuk kepada impak stimulatif pelaburan awam atau swasta. Perbelanjaan kerajaan yang produktif mewujudkan aktiviti ekonomi yang produktif merentasi industri, meningkatkan pendapatan pekerja dalam pelbagai sektor ekonomi dan kesan gandaan merentasi sektor-sektor ekonomi.

Walau bagaimanapun, penyelewengan dana awam melalui ketirisan dan rasuah tidak akan menyebabkan penyebaran rangsangan ekonomi yang meluas ini, sekali gus menyebabkan pertambahan kos melepas kepada rakyat.

Pengganda pelaburan biasanya lebih besar daripada 1. Namun, kekal konsisten mematuhi garis anggaran yang sangat konservatif, setiap RM1 daripada anggaran kerugian melebihi RM2.2 trilion – RM2.3 trilion mungkin mengakibatkan sekurang-kurangnya RM1 tambahan kos melepas menjadikan jumlah keseluruhan yang luar biasa iaitu RM4.5 trilion sepanjang tempoh 26 tahun.

Namun begitu, kita perlu ingat bahawa semua ini hanyalah anggaran yang amat konservatif!

Tambahan lagi, banyak kesan atau kos rasuah dan ketirisan tidak langsung yang tidak dapat diukur dan tidak dapat dikesan, kerana rasuah telah memusnahkan pelbagai hubungan utama yang diperlukan untuk pembangunan yang aman dan harmoni – ia menjejaskan ikatan yang menyatukan rakyat. Ia sering menjadi punca politik yang tidak berfungsi dengan sempurna dan perpecahan sosial.

Rasuah juga menjadikan negara terdedah dengan neokolonisasi dan eksploitasi dan berpotensi besar kehilangan kelebihan daya saing di peringkat global. Ini mengurangkan keyakinan pelaburan tempatan dan asing, terutamanya yang boleh mewujudkan pekerjaan bernilai tinggi dan aktiviti ekonomi, manakala pelaburan asing yang bersifat eksploitasi akan kekal berkembang dengan rasuah di tahap yang tinggi. Menerusi perubahan mundur dalam keutamaan perbelanjaan, rasuah menjejaskan keupayaan negara untuk menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan inklusif.

Pendek kata, rasuah adalah akar umbi kepada kegagalan bersama sebagai sebuah masyarakat.

Inilah sebabnya, di sebalik kekayaan negara melalui sumber minyak, gas, minyak sawit, getah, kayu balak, pertanian dan pelbagai lagi, Malaysia tidak dapat bersaing dengan negara-negara lain di rantau ini yang kurang dengan sumber aslinya. Tidak lupa juga Malaysia yang jauh dilindungi daripada bencana alam berbanding negara-negara lain. Pembentukan Malaysia sudah di landasan kejayaan. Hanya manusia, iaitu kepimpinan boleh memberi kesan mendalam kepada 'DNA' semula jadi Malaysia untuk berjaya.

Kekayaan sumber adalah sesuatu yang nampaknya sentiasa memberi ilusi kepada pemimpin yang kurang bijak bahawa mereka seolah-olah mentadbir negara dengan baik. Negara masih teguh berdiri walaupun dengan tadbir urus yang teruk dan pembaziran sumber yang berterusan. Namun, adakah Malaysia masih dapat terus mengalir keluar darahnya tanpa kesan?

Malaysia boleh menjadi makmur tanpa sebarang hutang dan/atau pinjaman jika kita mengambil kira hutang dan liabiliti negara yang diisytiharkan berjumlah RM1.5 trilion (hampir 80 peratus daripada KDNK menjelang akhir tahun 2022) dan anggaran kerugian secara konservatif akibat rasuah dan ketirisan sepanjang 26 tahun berjumlah RM4.5 trilion.

Kita mesti ingat bahawa walaupun sumber asli seperti minyak dan gas adalah terhad, perbelanjaan kerajaan yang diperlukan kerajaan untuk pertumbuhan negara akan sentiasa meningkat. Ini telah memaksa beberapa negara di Timur Tengah, sebagai contoh, untuk mempertimbangkan pengurangan pergantungan mereka kepada minyak dan gas dengan mempelbagaikan ekonomi mereka melalui transformasi digital yang berkesan.

Marilah kita berfikir sejenak apa yang boleh dilakukan untuk rakyat dan negara dengan RM4.5 trilion (meskipun anggaran yang konservatif) yang telah lenyap ini?

* Dr Rais Hussin adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh.