SPRM bongkar penyelewengan dana NGO RM26 juta

Antara individu yang ditahan untuk siasatan kes penyelewengan dana sumbangan orang ramai.
Antara individu yang ditahan untuk siasatan kes penyelewengan dana sumbangan orang ramai.
A
A
A

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hasil sumbangan orang ramai yang dipercayai melibatkan jumlah kira-kira RM26 juta.

Sumber mendedahkan, kegiatan menyeleweng dana itu terbongkar susulan tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan sebuah pertubuhan menerusi Op Serantau yang dijalankan SPRM Selangor di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka serta Pulau Pinang bermula Khamis lalu.

Katanya, kelima-lima suspek kini direman selama tujuh hari iaitu empat daripadanya sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis.

"Modus operandi untuk menyeleweng dana ini hampir sama seperti yang berlaku dalam kes pertubuhan Aman Palestin, apabila mereka memindahkan wang ke dalam akaun peribadi selain digunakan bagi membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah, termasuk pembelian mata wang kripto.

"Mereka juga dipercayai telah memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit serta menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri," katanya.

Tambah sumber, kegiatan penyelewengan dana hasil sumbangan orang ramai itu dipercayai berlaku sejak sekitar tahun 2015 hingga kini.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penangkapan tersebut.

Jelasnya, susulan operasi itu, SPRM telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta, termasuk barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, wang tunai melebihi RM1 juta, akaun kripto bernilai kira-kira RM650,000 serta empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta.

“SPRM juga telah membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!