'Serangan balas ini sebagai mengajar tindakan kejam biadab Israel' - Iran

Kelihatan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran merentasi langit malam di bandar Hebron, Tebing Barat yang diduduki Israel. Foto AFP
Kelihatan peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran merentasi langit malam di bandar Hebron, Tebing Barat yang diduduki Israel. Foto AFP
A
A
A

TEHERAN – Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) melancarkan gelombang serangan balas terbaharu terhadap rejim Zionis dengan menyasarkan kemudahan tenaga dan ketenteraan utama serta memintas puluhan pesawat musuh.

Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan Bahagian Perhubungan Awam IRGC pada Ahad, pihaknya mengesahkan pelaksanaan Operasi Janji Benar 3, sebagai respons terhadap siri serangan Israel yang disifatkan sebagai kejam dan biadab.

“Menerusi kesinambungan operasi ofensif gabungan Janji Benar 3, sebagai tindak balas terhadap kekejaman dan pencerobohan rejim Zionis baru-baru ini.

"Kemudahan pengeluaran bahan api untuk jet pejuang serta pusat bekalan tenaga milik rejim telah disasarkan dengan serangan dron dan peluru berpandu secara berkelompok,” kata kenyataan itu.

Serangan pada lewat malam Sabtu itu menyasarkan infrastruktur utama jauh ke dalam wilayah yang diduduki Israel.

Dalam masa sama, IRGC turut mengeluarkan amaran keras kepada rejim Zionis dengan menegaskan bahawa “Sekiranya kekejaman dan pencerobohan musuh diteruskan, operasi ofensif angkatan bersenjata Iran akan menjadi lebih dahsyat dan meluas.”

Orang ramai berlindung di sebuah tempat perlindungan ketika siren amaran dibunyikan susulan serangan peluru berpandu dari Iran di bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv. Foto AFP
Orang ramai berlindung di sebuah tempat perlindungan ketika siren amaran dibunyikan susulan serangan peluru berpandu dari Iran di bandar Bat Yam, selatan Tel Aviv. Foto AFP

Menurut kenyataan itu lagi, pertahanan udara Iran turut menunjukkan keupayaan cemerlang apabila Pasukan Aeroangkasa IRGC yang beroperasi di bawah rangkaian pertahanan udara bersepadu negara telah berjaya memintas dan memusnahkan tiga peluru berpandu jelajah, 10 dron serta puluhan mikro-dron milik tentera Zionis di beberapa zon konflik.

Gelombang serangan terbaharu ini berlaku selepas Israel melancarkan serangan udara secara tiba-tiba pada Jumaat lalu yang mengorbankan orang awam, pegawai kanan dan saintis Iran.

Artikel Berkaitan:

Sebagai tindak balas awal, Iran melancarkan serangan balistik lewat malam Jumaat yang menyasarkan lebih 150 lokasi ketenteraan dan perisikan sekitar Tel Aviv dan kawasan sekitarnya.

Serangan pada Sabtu pula mencetuskan bunyi siren di wilayah utara Israel, dengan rakaman saksi menunjukkan kerosakan besar termasuk kebakaran besar di bandar Haifa.

Media berbahasa Hebrew melaporkan sekurang-kurangnya empat penduduk Israel terbunuh, sekali gus menafikan usaha kerajaan Zionis menyembunyikan angka sebenar korban melalui sekatan maklumat.

Asap tebal dilaporkan menyelubungi beberapa kawasan akibat kebakaran besar susulan serangan tersebut.

Kerajaan Iran menegaskan bahawa tindakan ketenteraan mereka adalah berlandaskan hak mempertahankan diri yang dijamin di bawah undang-undang antarabangsa. -Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!