Gelombang serangan dron, misil

KIEV - Sekurang-kurangnya 14 terbunuh manakala lebih 50 yang lain cedera dalam serangan ganas dilancarkan Rusia ke atas ibu kota Ukraine.
Serangan bermula tengah malam hingga awal pagi Selasa itu merupakan kempen pengeboman terbesar sejak operasi ketenteraan ke atas Kiev bermula, lebih tiga tahun lalu.
Menteri Dalam Negeri, Ihor Klymenko berkata, sebanyak 440 dron dan 32 misil ditembak Moscow yang terus memperhebatkan serangan mereka.
Kempen pengeboman itu didakwa berlarutan selama lebih sembilan jam hingga menyebabkan penduduk terpaksa berlindung di bunker sepanjang malam.
Sementara itu, unit pertahanan udara Rusia dilaporkan memintas dan memusnahkan kira-kira 147 dron selepas Ukraine melancarkan serangan balas.
Kremlin telah meningkatkan serangan udara ke atas bandar-bandar utama di Ukraine sejak beberapa minggu lalu menggunakan dron dan 'umpan' yang direka untuk menjejaskan sistem pertahanan udara musuh.
Ketegangan antara kedua-dua negara bekas Kesatuan Soviet itu kian memuncak selepas rundingan damai gagal untuk melaksanakan gencatan senjata.
Presiden Volodymyr Zelenskyy menyifatkan siri serangan dilancarkan musuh mereka sebagai 'keganasan sebenar'.
Beliau juga menuduh Presiden Rusia, Vladimir Putin sengaja memburukkan lagi krisis tersebut kerana mahu terus berperang.
“Amat mengecewakan apabila kuasa dunia menutup mata,” katanya yang terus merayu bantuan Barat untuk memberi tekanan kepada Moscow.
Zelenskyy yang mengharapkan sokongan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk matlamat dan strategi ketenteraan berasa kecewa apabila hasrat beliau untuk bertemu dengan pemimpin itu di luar acara Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada tidak kesampaian.
Presiden ke-47 AS itu dikatakan bergegas pulang susulan konflik Iran-Israel yang mengancam situasi di rantau Asia Barat.
Komuniti antarabangsa ketika ini lebih memberi tumpuan penuh terhadap peperangan antara dua seteru lama itu hingga meminggirkan konflik di negara lain termasuk perang genosid di Genting Gaza. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!