Israel serang Teheran: Ketua dan Timbalan Risikan Iran terbunuh

Mohammad Kazemi (kiri) dan timbalannya, Hassan Mohaghegh maut dalam serangan udara Israel ke atas ibu negara Iran, Tehran, pada Ahad.
Mohammad Kazemi (kiri) dan timbalannya, Hassan Mohaghegh maut dalam serangan udara Israel ke atas ibu negara Iran, Tehran, pada Ahad.
A
A
A
TEHERAN - Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan bahawa dua pegawai tertinggi dalam organisasi risikannya terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas ibu negara Iran, Tehran, pada Ahad.

Menurut laporan agensi berita rasmi IRGC, Sepah News, Ketua Organisasi Risikan IRGC, Mohammad Kazemi serta timbalannya, Hassan Mohaghegh, maut dalam serangan tersebut.

Turut disahkan terkorban ialah seorang lagi pegawai kanan risikan yang tidak dinamakan.

Serangan udara Israel ke atas Tehran dan beberapa bandar utama Iran bermula sejak awal pagi Jumaat dan berterusan sehingga Ahad.

Beberapa pegawai tentera kanan, saintis nuklear serta orang awam dilaporkan terbunuh dalam siri serangan yang disifatkan sebagai paling agresif dalam sejarah konflik antara kedua-dua negara.

Sebagai tindak balas, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa sasaran di Israel, yang mengakibatkan kematian serta kerosakan besar di beberapa kawasan.

Konflik ini mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kemungkinan tercetusnya perang berskala besar di Asia Barat.

Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung eskalasi terkini ini. –Agensi-Awani

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!