Tebing Barat: Tuntutan sejarah lapuk Israel

TEBING Barat yang digelar Israel sebagai Judea dan Samaria menjadi pusat kontroversi geopolitik yang berterusan.
Bagi puak haluan kanan di Tel Aviv, wilayah berkenaan bukan sekadar tanah yang diduduki selepas perang 1967, tetapi sebahagian daripada tanah sejarah bangsa Yahudi yang diiktiraf selama ribuan tahun.
Menurut teks agama Yahudi, wilayah tersebut merupakan lokasi utama kerajaan Israel dan Judah purba, kira-kira 3,000 tahun lalu.
Bandar-bandar penting pada masa kini seperti Hebron, Baitulaham dan Nablus muncul dalam kitab Taurat dengan kisah Nabi Ibrahim, Nabi Daud (King David) dan Nabi Sulaiman dikatakan berkait rapat dengan kawasan tersebut.
Golongan nasionalis di Israel melihat wilayah tersebut sebagai inti sejarah Yahudi yang dikosongkan selepas penaklukan Empayar Rom dan diaspora Yahudi pada abad pertama Masihi.
Pandangan itu menjadi asas ideologi bahawa bangsa Yahudi kononnya mempunyai hak sejarah untuk kembali dan menetap di tanah asal mereka.
Gerakan Zionisme pada abad ke-19 sewenang-wenangnya menekankan bahawa tanah Israel purba termasuk Tebing Barat merupakan tanah warisan yang sah untuk penubuhan negara Yahudi moden.
Selepas penubuhan negara haram Israel pada 1948, ia terus menjadi fokus politik dan strategi rejim Tel Aviv walaupun Tebing Barat berada di bawah kawalan Jordan hingga 1967.
Perang Enam Hari menyaksikan Israel menduduki Tebing Barat dan sejak itu wilayah tersebut dianggap oleh sesetengah puak ekstremisme sebagai Judea dan Samaria atau ‘hak sejarah yang direalisasikan’.
Bagi Israel, Judea dan Samaria yang sering disebut Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu kononnya menekankan hubungan sejarah dan agama Yahudi dengan wilayah tersebut.
Ia cuba menyokong kedaulatan moral dan sejarah atas tanah tersebut, berbeza dengan istilah Tebing Barat yang lebih neutral dan acap kali digunakan oleh komuniti antarabangsa.
Golongan nasionalis mendakwa kawasan berkenaan tidak boleh dipulangkan sepenuhnya kepada Palestin kerana ia kononnya sebahagian daripada ‘warisan Yahudi yang sah’.
Sebaliknya, penduduk Palestin melihat tanah tersebut sebagai wilayah kepunyaan mereka yang telah dihuni nenek moyang komuniti itu selama berabad-abad.
Walaupun Israel menggunakan alasan sejarah untuk menyokong tuntutan tidak berasas ke atas Tebing Barat, penganalisis menekankan hak rakyat Palestin juga tidak boleh dinafikan memandangkan ia menjadi teras kepada kerangka penyelesaian dua negara.
Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat sebagai wilayah yang diduduki sejak lebih lima dekad lalu dan komuniti antarabangsa secara konsisten mengecam peluasan penempatan haram Yahudi di kawasan tersebut yang sesuka hati merampas tanah dan merobohkan struktur milik penduduk Palestin.
Tebing Barat menjadi contoh bagaimana sejarah kuno terus mempengaruhi politik moden.
Israel berterusan menggunakan sejarah lapuk ribuan tahun bagi menjustifikasi rancangan mengilhak wilayah tersebut manakala Palestin mempertahankan hak mereka terhadap tanah yang telah didiami sejak turun-temurun.
Ringkasan AI
- Tebing Barat menjadi pusat kontroversi geopolitik antara Israel dan Palestin
- Wilayah tersebut dianggap oleh puak haluan kanan di Israel sebagai sebahagian daripada tanah sejarah bangsa Yahudi
- Menurut teks agama Yahudi, Tebing Barat adalah lokasi utama kerajaan Israel dan Judah purba
- Gerakan Zionisme menekankan Tebing Barat sebagai tanah warisan yang sah untuk negara Yahudi moden
- Undang-undang antarabangsa menganggap Tebing Barat sebagai wilayah yang diduduki dan mengecam peluasan penempatan haram Yahudi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

