Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kes Yusoff Rawther - Muhyiddin

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kemungkinan berlakunya penipuan dan salah guna kuasa dalam siasatan serta pendakwaan, terutama kes melibatkan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.
Gesaan itu dibuat Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan jenayah tanpa perlu membela diri.
Menurut Muhyiddin, sekiranya terbukti, semua individu yang terlibat termasuk dalang utama perlu dikenakan tindakan undang-undang yang setimpal.Katanya, beliau bimbang Malaysia berkemungkinan menjadi negara ‘gestapo’ dengan kewujudan individu tidak bertanggungjawab dalam agensi penguat kuasa yang terlibat dengan penguasa politik secara membuta tuli.
“Untuk mengekalkan Malaysia sebagai sebuah negara hukum, adalah penting agensi-agensi penguat kuasa yang tugasnya adalah semata-mata untuk menegakkan undang-undang dan keadilan dibersihkan daripada anasir-anasir jahat ini.
“Janganlah kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, Muhammed Yusoff dilepas dan dibebaskan (DNA) atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, di Mahkamah Tinggi pada Khamis.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Muhammed Yusoff, 32, di akhir kes pendakwaan.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, susulan pembebasan Muhammed Yusoff oleh mahkamah, pihak berkuasa perlu memberi jaminan bahawa keselamatannya akan dilindungi.
Beliau turut mengulas berkenaan bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan untuk menyabitkan kesalahan jenayah yang kononnya dilakukan oleh Muhammed Yusoff, disifatkan amat diragui.
“Bukti-bukti yang dikemukakan di mahkamah oleh pihak pendakwaan untuk menyabitkan kesalahan jenayah yang kononnya dilakukan oleh Muhammed Yusoff ialah amat diragui.
“Ini menimbulkan persepsi awam bahawa pendakwaan ini adalah satu konspirasi jahat pihak-pihak tertentu untuk menutup mulut Muhammed Yusoff berkait saman sivilnya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Muhammad Jamil yang melepas dan membebaskan Muhammed Yusoff tanpa perlu membela diri mengesahkan keraguan ini.
"Pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie berkemungkinan besar kerana bukti yang dikemukakan adalah direka untuk menyabitkan kesalahan...ini bukti jelas kebobrokan kuasa,” ujarnya.
Tambah beliau lagi, keadaan yang berlaku juga memperlihatkan bagaimana institusi negara dan undang-undang digunakan secara rakus tanpa rasa malu serta belas ihsan untuk menganiaya seorang rakyat yang tidak bersalah semata-mata bagi melindungi sang penguasa.
Lebih mengecewakan, ulasnya, tuduhan jenayah berat yang membawa hukuman penjara seumur hidup turut digunakan.
“Undang-undang dan institusi negara yang sepatutnya menjadi pelindung rakyat dan penegak keadilan telah ditukar menjadi alat kezaliman oleh rejim Madani.
“Janji reformasi dan keadilan untuk semua adalah hipokrasi terbesar rejim ini,” dakwa beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!