Polis gagal ambil keterangan Yusoff Rawther dakwaan diperangkap - Hakim

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis memberitahu bahawa, kegagalan pihak polis menyiasat dakwaan bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther telah diperangkap, sama ada bersifat benar atau palsu, telah memprejudiskan haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Ketika membaca keputusan penghakiman, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, dakwaan itu dibuat ketika rakaman percakapan Yusoff, 32, pada 8 September 2024 iaitu dua hari selepas ditangkap.
Katanya, pemuda itu turut membuat rakaman kedua pada 10 September tahun sama, iaitu empat hari kemudian.
Beliau berkata, tertuduh menyatakan versinya bahawa dia telah dijebak, maka pihak polis mempunyai masa yang mencukupi untuk menyemak perkara tersebut.
“Beban terletak pada pihak pendakwaan untuk menyemak sama ada dakwaan pada dua rakaman itu benar atau palsu tetapi kegagalan dua polis membuat siasatan bagi mengesahkan versi itu memprejudiskan hak tertuduh,” katanya.
Selain itu hakim ini berkata, tidak dinafikan senjata dan dadah tersebut ditemui dalam kereta yang didaftarkan atas nama Yusoff, kunci dan alat kawalan jauh kenderaan itu berada dalam milikannya serta kad pengenalannya berada dalam kereta jenis Nissan Teana itu.
Bagaimanapun beliau berkata, keterangan itu tidak boleh membawa kepada kesimpulan yang munasabah bahawa tertuduh mempunyai kawalan eksklusif ke atas kereta termasuk dua pistol dan dadah tersebut.
Katanya, ia termasuk isu bahawa tertuduh telah ditahan di luar kenderaan, alat kawalan jauh dan kunci manual kenderaan berkenaan tidak boleh membuka pintu pemandu Nissan Teana tersebut.
“Berdasarkan faktor itu dan ketiadaan keterangan lain, maka saya mendapati tertuduh tidak mempunyai kawalan eksklusif ke atas semua barang larangan berkenaan,” katanya.
Pada Khamis, Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) tanpa dipanggil membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, di Mahkamah Tinggi di sini.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pemuda tersebut.
Pada 12 September 2024, Yusoff didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam kenderaan dinaikinya di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi, 6 September 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September tahun sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada 12 November tahun sama, Mahkamah Majistret membenarkan kes mengedar dadah jenis kanabis membabitkan Yusoff dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dalam kes berkenaan, tertuduh diwakili peguam, Muhammad Rafique Rashid Ali, sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!