Elak kenyataan fitnah, spekulatif kes Yusoff Rawter - AGC

SHAH ALAM - Jabatan Peguam Negara (AGC) menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat kenyataan bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung keputusan kes bekas pembantu penyelidik, Muhammed Yusoff Rawther.
Ia susulan pemuda itu dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis tanpa dipanggil untuk membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah kanabis dan memiliki dua pucuk pistol palsu.
AGC menasihatkan orang awam agar tidak membuat kenyataan sedemikian, lebih-lebih lagi jika ia dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.
"Pentadbiran keadilan hendaklah tidak dijejaskan oleh perbicaraan melalui media (trial-by-media), sindiran awam, kedudukan atau persepsi.
"Justeru, jabatan ini akan meneliti keputusan kes dan mempertimbangkan semua aspek berkenaan sebelum membuat sebarang tindakan selanjutnya," menurut kenyataan tersebut pada Jumaat.
AGC memaklumkan bahawa pihaknya mengambil maklum mengenai keputusan Mahkamah Tinggi pada 12 Jun 2025 untuk membebaskan Muhammed Yusoff daripada pertuduhan-pertuduhan terhadap beliau di akhir kes pendakwaan.
"Jabatan ini menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan mengambil maklum alasan keputusan yang diberikan dalam kes tersebut.
“Ia adalah kerana tujuan sesuatu pendakwaan dijalankan adalah untuk memastikan keadilan tercapai berdasarkan bukti dan nas undang-undang," ujar kenyataan itu lagi.
Tambahnya, jabatan juga menyedari bahawa kes terbabit telah menarik perhatian umum.
"Sepanjang prosiding, jabatan telah bertindak menurut batas kebebasan pendakwaan dan proses undang-undang.
"Pendakwaan telah dijalankan berdasarkan penelitian secara berhati-hati terhadap bukti tersedia dan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana pihak," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, jabatan terbabit juga kekal komited dalam menegakkan kedaulatan undang-undang dan akan terus melaksanakan tanggungjawabnya menurut Perlembagaan dengan berintegriti, saksama dan menghormati proses pengadilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

