Pembebasan Yusoff Rawther cerminan kerumitan sistem keadilan negara

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memutuskan untuk melepaskan dan membebaskan bekas pembantu penyelidik seorang ahli politik, Muhammed Yusoff Rawther, daripada dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan.
Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) tanpa perlu dipanggil membela diri selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang menegaskan bahawa keadaan dalam kes berkenaan menimbulkan keraguan sama ada tertuduh mempunyai kawalan eksklusif ke atas barang kes.
Kes tersebut menjadi isu hangat dalam platform media semasa memandangkan pertuduhan yang dihadapi Yusoff merupakan tuduhan yang serius.
Sudah tentu dengan keputusan DNA Yusoff, ia pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat termasuk dari segi sistem kehakiman negara ini.
Pembebasan Yusoff kerana kegagalan pihak pendakwaan membuktikan kes prima facie menonjolkan prinsip asas undang-undang iaitu "seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah".
Ini memperkukuh persepsi bahawa mahkamah tidak tunduk kepada tekanan politik atau persepsi awam semata-mata.
Selain itu, dari segi institusi kehakiman pula, keputusan berkenaan boleh meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap badan kehakiman sekiranya dilihat sebagai adil dan berasaskan bukti.
Sementara itu, disebabkan tertuduh pernah menjadi pembantu penyelidik kepada seorang ahli politik yang terkenal, sesetengah pihak mungkin melihat kes ini dari sudut politik.
Walaupun tiada bukti kukuh tentang campur tangan politik, persepsi itu tetap boleh menjejaskan integriti sistem keadilan jika tidak ditangani dengan komunikasi yang telus.
Bagaimanapun, langkah Yusoff seterusnya pasti menjadi tanda tanya daripada pelbagai pihak susulan kenyataan yang dibuat olehnya baru-baru ini.
Yusoff dalam sidang akhbar di luar mahkamah pada Khamis berkata, pengalaman ditahan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan merupakan satu fasa yang penuh pengajaran, lebih-lebih lagi bagi seseorang yang tidak pernah melakukan sebarang kesalahan jenayah.
Katanya, beliau akan terus berjuang mencari keadilan memandangkan dirinya didakwa telah dianiaya dalam kes tersebut.
Pembebasan Yusoff mencerminkan realiti rumit dalam sistem keadilan. Ia perlu berlandaskan bukti, bukan persepsi atau tekanan politik.
Namun, kes ini juga menyerlahkan kelemahan dalam siasatan dan pendakwaan yang memerlukan perhatian serius oleh pihak berkuasa.
Demi negara dan rakyat, penting untuk memastikan keadilan bukan sahaja dilaksanakan, tetapi juga dilihat dilaksanakan tanpa berat sebelah, campur tangan dan ketirisan pada integriti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!