Isu diperangkap, Yusoff Rawther beri kata dua kepada KPN

KUALA LUMPUR – Muhammed Yusoff Rawther memberi kata dua kepada pihak polis untuk memaklumkan perkembangan laporan yang dibuat bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, atau berdepan tindakan undang-undang.
Berdasarkan surat yang dihantar oleh Law Practice of Rafique, Yusoff, 32, memberi masa tujuh hari kepada Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain untuk menjawab perkembangan laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 12 September tahun lalu.
Jika tiada jawapan atau ia tidak memenuhi isu-isu yang dibangkitkan, pihaknya akan mengheret perkara itu ke muka pengadilan.
Menurut surat itu, laporan polis berkenaan menyentuh mengenai penafian Yusoff, yang dituduh atas dua kes mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan.
Menurutnya, ia turut melibatkan dakwaan Yusoff menjadi mangsa penganiayaan dan diperangkap Anwar, 78, dan bekas Setiausaha Politik Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.
Selepas ditahan di Penjara Sungai Buloh selama sembilan bulan 10 hari sehingga dibebaskan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis atas tuduhan berkenaan, anak guamnya masih belum mendapat jawapan mengenai status siasatan laporan itu.
“Kami menulis untuk memperoleh jawapan rasmi dari pihak KPN dan Polis Diraja Malaysia sama ada Anwar dan Farhash Wafa Salvador telah dipanggil untuk siasatan.
“Sila maklumkan kepada kami status dan langkah-langkah yang telah diambil oleh pasukan PDRM mengenai laporan ini,” katanya.
Pada Khamis, Yusoff dilepaskan dan dibebaskan (DNA) tanpa dipanggil membela diri atas dua pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dan memiliki dua pistol tiruan, di Mahkamah Tinggi di sini.
Yusoff yang juga cucu kepada aktivis pengguna terkenal Pulau Pinang, Allahyarham SM Mohamed Idris itu.
Semasa membaca keputusan penghakiman, Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memberitahu bahawa kegagalan pihak polis menyiasat dakwaan Yusoff telah diperangkap, sama ada bersifat benar atau palsu, telah memprejudiskan haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil.
Hakim itu berkata, dakwaan berkenaan dibuat ketika dua rakaman percakapan diambil pada 8 dan 10 September 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!