Pas gesa PM 'rehat' sementara siasatan berjalan

Tuan Ibrahim (kanan) bersalaman dengan hadirin di Medan Ilmu pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Tuan Ibrahim (kanan) bersalaman dengan hadirin di Medan Ilmu pada Jumaat. FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU – Pas menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim direhatkan daripada jawatan buat sementara waktu bagi membolehkan siasatan dan perbicaraan kes-kes mahkamah yang sedang berjalan berkaitan dengan beliau dapat dilakukan secara bebas tanpa tekanan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, prinsip itu telah lama diguna pakai dan harus diteruskan demi menjamin integriti siasatan serta keadilan dalam sistem pemerintahan.

“Dengan kes-kes yang berkaitan Perdana Menteri, saya cadangkan beliau letak jawatan ataupun beliau direhatkan untuk benarkan siasatan secara terbuka.

“Kalau pegang jawatan, pegawai nak siasat kita, mana boleh. Ini standard, bukan benda baharu. Dulu-dulu pun begitulah desakan, mana-mana menteri yang sedang disiasat, sepatutnya berehat dulu.

“Supaya memberi laluan kepada siasatan yang lebih adil. Pegawai pun, bila nak siasat, tidak bimbang atau takut. Tapi kalau kita masih pegang jawatan, nak siasat pun mereka tak berani,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah di Medan Ilmu di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, tindakan berehat seketika daripada jawatan penting bukan soal bersalah atau tidak, sebaliknya langkah wajar demi menjaga imej pentadbiran dan keyakinan rakyat terhadap keadilan.

“Bukan nak timbulkan persepsi bahawa siasatan sekarang tidak adil, tetapi ia mesti bukan sahaja benar-benar adil, malah perlu terlihat adil,” katanya lagi.

Anwar
FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID
Anwar FOTO SINAR HARIAN - ADILA SHARINNI WAHID

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan dalam saman sivil yang difailkan bekas penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.

Artikel Berkaitan:

Permohonan itu antara lain bertujuan mendapatkan pengesahan sama ada Perdana Menteri mempunyai kekebalan daripada saman berdasarkan kedudukannya.

Namun, hakim memutuskan tiada isu Perlembagaan yang substantif dan menetapkan perbicaraan akan bermula pada 16 Jun ini.

Saman tersebut difailkan oleh Yusoff pada 2021 berhubung dakwaan serangan seksual yang didakwa berlaku pada Oktober 2018 di kediaman Anwar di Segambut, sebelum beliau menjadi Perdana Menteri.

Anwar dalam pembelaannya menegaskan bahawa saman itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah dan berpotensi mengganggu tugas eksekutif serta mencabar prinsip pengasingan kuasa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!