'Saya menggigil lihat ayah tertiarap dalam air'

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi, Allahyarham Hamzah dipercayai terkena serangan jantung ketika sedang menebas rumput di sawah

Allahyarham Hamzah (duduk, kiri) bergambar bersama anak dan menantu semasa Aidilfitri lalu.
Allahyarham Hamzah (duduk, kiri) bergambar bersama anak dan menantu semasa Aidilfitri lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - "Saya menggigil bila nampak ayah tertiarap dalam air, namun tetap panggil dia berkali-kali walaupun tahu dia sudah tiada,” kata Nur Fateha Hida Hamzah, 31.

Nur Fateha merupakan individu yang menemui sendiri mayat bapanya, Hamzah Omar, 65, dalam keadaan tidak bernyawa di bendang belakang rumah mereka di Parit 3 Barat Banat, Sungai Besar, di sini, pada Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa dipercayai terkena serangan jantung ketika menebas rumput di sawah berkenaan.

Menurut Nur Fateha, seperti kebiasaannya, Allahyarham bapanya keluar menunaikan solat Subuh di surau pada pagi kejadian sebelum pulang semula ke rumah.

“Arwah ayah sempat makan ubat dan memberitahu ibu saya bahawa dia hendak ke sawah menebas rumput,” katanya ketika ditemui di kediamannya pada Jumaat.

Nur Fateha memberitahu, dia sempat melihat bapanya keluar dari rumah kira-kira jam 7.30 pagi sambil membawa mesin rumput.

Menurutnya, kebiasaannya Allahyarham Hamzah akan pulang sebelum jam 10 pagi, namun dia mula berasa pelik apabila bapanya masih belum kembali ke rumah.

“Bila ayah tak balik-balik, saya cari ke bendang dan terkejut nampak dia tertiarap dalam air dengan mesin rumput masih di bahu.

“Saya kemudian angkat kepala ayah dan baringkan atas rumput sebelum hubungi suami dan abang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, suaminya yang bekerja berhampiran lokasi kejadian segera pulang dan membantu mengangkat Allahyarham bapanya ke tebing sawah sebelum menghubungi ambulans.

Mohd Noraffizi (tengah) bersama Nur Fateha (kiri) dan Siti Rumziah menunjukkan gambar kenangan bersama Allahyarham Hamzah.
Mohd Noraffizi (tengah) bersama Nur Fateha (kiri) dan Siti Rumziah menunjukkan gambar kenangan bersama Allahyarham Hamzah.

Abang kepada Nur Fateha, Mohd Noraffizi Hamzah, 41, berkata, semasa kejadian dia sedang bekerja sebelum menerima panggilan telefon daripada adiknya yang memaklumkan kejadian berkenaan.

“Tanpa berlengah, saya segera pulang dan sebaik tiba di rumah, saya dapati ambulans sudah berada di lokasi sebelum terus ke belakang rumah dan melihat sendiri jasad bapa terbaring di sawah,” ujarnya.

Ditanya mengenai pertemuan terakhir bersama arwah, Mohd Noraffizi berkata, dia terserempak dengan bapanya pada pagi itu namun tidak sempat berbual panjang kerana tergesa-gesa ke tempat kerja.

“Saya hanya sempat bertemu sekejap di luar rumah, namun tak sangka itu kali terakhir saya melihat ayah,” jelasnya.

Mohd Noraffizi turut menafikan kematian bapanya itu berpunca daripada strok haba seperti yang tular di media sosial.

“Bedah siasat sahkan ayah meninggal dunia akibat serangan jantung dan kami sekeluarga mohon orang ramai berhenti sebarkan gambar dan buat andaian tidak benar,” tambahnya.

Sementara itu, Siti Rumziah Wahidon, yang juga isteri kepada Mohd Noraffizi, memberitahu pemergian bapa mentuanya itu meruntun jiwa, lebih-lebih lagi selepas kehilangan abang kandungnya yang turut meninggal dunia di sawah kira-kira dua tahun lalu.

“Arwah seorang ayah dan bapa mentua yang sangat baik dan dia pergi dalam keadaan mengejut. Kehilangannya meninggalkan kesan mendalam,” katanya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Hamzah menjalani bedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

Jenazah kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tebuk Pulai pada jam 5.45 petang, Khamis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!