'Dia anak tunggal saya...itu kali terakhir lihat wajahnya'

Keluarga dan rakan Mohamad Faris memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Gambar kecil: Mohd Shah Penilzain.
Keluarga dan rakan Mohamad Faris memberi penghormatan terakhir kepada arwah. Gambar kecil: Mohd Shah Penilzain.
A
A
A

JOHOR BAHRU – “Selalunya saya buat panggilan video ada dia seorang saja tapi sehari sebelum kemalangan, Faris pun ada sekali... rupanya itu kali terakhir lihat wajah mereka.”

Demikian luahan Mohd Shah Penilzain Mohamed Said, 45, bapa kepada Nur Atikah Najiha yang maut bersama suaminya, Mohamad Faris Kamaludin, 24, dan ibu, Nurul Ain Abdul Rahim, 39, dalam nahas membabitkan kereta dan sebuah bas ekspres di Kuala Krai, Jumaat lalu.

Tambahnya, Nur Atikah Najiha merupakan anak tunggal dia bersama bekas isterinya, Nurul Ain yang turut maut dalam kemalangan itu.

“Dia anak tunggal saya. Masa terima panggilan jam 5 petang Jumaat tu, saya baru balik kerja. Lemah rasa badan, tak tahu nak cakap apa... sampai sekarang pun masih belum kuat.

“Paling saya tak dapat lupakan ketika panggilan video itu... dia tanya saya, ‘Ayah ingat tak dulu ayah beli punten? Najihah baru beli ni, sedap sangat. Lama dah tak makan. Dulu ayah beli RM3, sekarang RM2.50 saja," luahnya sebak.

Mohd Shah turut berkongsi, dia sempat berhubung dengan anaknya menerusi aplikasi WhatsApp untuk bertanya mengenai keberadaan Nur Atikah Najiha dan suaminya.

Ujarnya, kali terakhir arwah menghantar mesej ialah ketika mereka sampai di Raub dan mahu masuk ke Kuala Lipis dan selepas itu sudah gagal dihubungi.

Sementara itu, Kamaludin Abdullah, 52, berkata, itu kali pertama Mohamad Faris berjalan jauh dan bertolak ke Terengganu sekitar jam 12.30 malam selepas pulang dari kerja.

Artikel Berkaitan:

Kamaludin
Kamaludin

"Habis kerja 11.30 malam, dia gerak ke sana dalam jam 12.30 tengah malam dan ketika dalam perjalanan mereka rehat sekejap di Seremban sebelum meneruskan perjalanan.

"Dia merupakan anak ketiga daripada tujuh adik beradik, orangnya baik dan banyak kawan. Semua rapat sebab dia peramah suka bergurau.

"Ini merupakan kehilangan yang besar, sedih itu... saya tak tahu nak cakap macam mana. Jauh saya pergi 'ambil' dia, ibu dia sampai pengsan. Tapi kami reda dengan pemergian arwah," katanya.

Jenazah pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan bas ekspres di Kuala Krai, Jumaat lalu, selamat dikebumikan pada jam 10 pagi, Ahad.

Jenazah Nur Atikah Najihah dan suaminya, Mohamad Faris disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kassim Noor, Kampung Sungai Danga, di sini, selepas disolatkan di Surau Darul Akhirah selepas Subuh.

Suasana pilu menyelubungi upacara pengebumian yang dihadiri ahli keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan pasangan itu yang hadir memberikan penghormatan terakhir serta mengiringi jenazah dari surau ke tanah perkuburan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!