Polis Kelantan lupus dadah lebih RM11 juta

Mohd Yusoff (dua dari kanan) memasukkan dadah ke dalam pelupusan selepas sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Tahun 2025 pada Rabu.
Mohd Yusoff (dua dari kanan) memasukkan dadah ke dalam pelupusan selepas sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Tahun 2025 pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU – Polis Kelantan melupuskan barang kes berkaitan dadah yang dikumpul sejak 1997, dengan nilai keseluruhan melebihi RM11.3 juta.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pelupusan tersebut dibuat mengikut Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) D207 dan setelah mendapat arahan pelupusan daripada mahkamah selepas selesai proses perbicaraan.

Menurut beliau, nilai dadah tertinggi yang dilupuskan adalah jenis syabu, iaitu RM9.6 juta seberat 301.706 kilogram (kg), diikuti ubat batuk bernilai lebih RM1 juta membabitkan 1,721.45 liter.

“Dadah lain yang turut dilupuskan ialah pil kuda seberat 3.935 kg dengan nilai RM295,275 dan pil psikotropik seberat 91.719 kg bernilai RM113,980,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar sempena Pelupusan Barang Kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Tahun 2025, pada Rabu.

Mohd Yusoff turut memaklumkan bahawa dadah lain yang akan dilupuskan termasuk ganja, air ketum, heroin, pil epam, etizolam dan ketamin.

Tambahnya, pelupusan barang kes berkenaan dijadualkan dilakukan pada Khamis oleh sebuah syarikat di Bukit Pelanduk, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan telah berjaya menahan seramai 12,298 individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM10.3 juta bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.

Artikel Berkaitan:

“Nilai harta dan aset yang disita daripada pengedar dadah pula mencecah lebih RM1.3 juta.

“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam penyeludupan dan pengedaran dadah. Kita juga memohon kerjasama orang ramai untuk mengekang jenayah ini,” ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!