Cuaca panas berlarutan, kerajaan negeri pantau rapi bekalan air

Jalaluddin
Jalaluddin
A
A
A

JEMPOL – Kerajaan Negeri Sembilan bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan cuaca panas dan kering yang dijangka berterusan sehingga hujung bulan depan.

Exco Kanan Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkara tersebut berada dalam pemantauan Jawatankuasa Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri. Jawatankuasa itu telah ditubuhkan beberapa tahun lalu bagi menyelaras tindakan menghadapi pelbagai bencana termasuk ribut taufan, banjir dan kemarau.

Menurutnya, dalam masa yang sama, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) turut membuat pemantauan rapi terhadap paras air di semua kolam takungan utama negeri ini.

“Setakat ini, paras air berada pada tahap yang mampu menampung keperluan harian penduduk.

“Namun begitu, kita tidak boleh mengambil mudah. Sekiranya kemarau berpanjangan berlaku, terdapat kemungkinan berlakunya kekurangan bekalan air.

“Oleh itu, pengguna dinasihatkan menggunakan air secara berhemah dan mengelakkan pembaziran,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Dewan Yayasan Pelajaran dan Kebajikan Jempol (YPKJ) di Serting di sini pada Selasa.

Jalaluddin menyempurnakan majlis pecah tanah Dewan YPKJ pada Selasa.
Jalaluddin menyempurnakan majlis pecah tanah Dewan YPKJ pada Selasa.

Turut hadir, Pengerusi YPKJ, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Negeri, Datuk Mustapha Nagoor.

Artikel Berkaitan:

Jalaluddin turut menasihatkan orang ramai agar menjaga kesihatan diri dan mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan strok haba susulan cuaca panas yang sedang melanda beberapa negeri ketika ini.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan cuaca panas dan kering tidak menentu yang melanda negara ketika ini akan berterusan sehingga pertengahan atau hujung bulan depan.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, keadaan cuaca tersebut merupakan fenomena biasa yang berlaku di luar fasa peralihan monsun iaitu pada penghujung Monsun Timur Laut dan permulaan Monsun Barat Daya.

Sementara itu, mengenai pembinaan dewan tersebut, beliau memaklumkan bahawa kos pembinaan berjumlah RM3.5 juta yang telah diluluskan pada 2022, dan projek itu akan dilaksanakan dalam masa terdekat serta dijangka siap pada Februari 2026.

Katanya, kebenaran merancang diperoleh pada 21 Januari lalu manakala kelulusan pelan bangunan diperoleh pada 4 Mac 2025.

Tambah beliau, dewan komuniti ini akan berperanan sebagai pejabat urusan YPKJ, pusat aktiviti kebajikan dan pusat pelaksanaan program-program pendidikan untuk golongan memerlukan seperti yang digariskan dalam Surat Ikatan Amanah YPKJ.

Dewan ini mampu menampung kapasiti sehingga 600 orang dan turut boleh digunakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat setempat, termasuk untuk acara perkahwinan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!