Dulu simpati pada lembu, kini penyembelih korban - Orang Asli

GUA MUSANG – Jika suatu ketika dahulu masyarakat Orang Asli di sini enggan melibatkan diri dalam ibadah korban kerana rasa simpati terhadap lembu yang bakal disembelih, kini situasi itu sudah berubah.
Pemahaman terhadap erti sebenar ibadah korban dalam Islam itu membuka lembaran baharu apabila komuniti Orang Asli di kawasan ini berjaya melahirkan tiga individu sebagai tukang sembelih bertauliah.
Imam Tua Masjid Mukim Pos Hendrop, Aris Rami, 55, berkata, perubahan tersebut amat membanggakan setelah bertahun-tahun mendidik dan menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat di situ.
“Alhamdulillah, selepas sekian lama, masyarakat Orang Asli di sini semakin faham tuntutan ibadah korban setiap kali tibanya Hari Raya Aidiladha.
“Daripada lebih 5,000 penduduk Orang Asli di sini, kini sudah ada tiga tukang sembelih termasuk saya sendiri yang terlibat secara aktif setiap kali musim korban,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Ibadah Korban Perdana Masyarakat Orang Asli Negeri Kelantan di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, pada Selasa.
Menurut Aris sebelum ini beliau sukar mencari individu yang berminat mempelajari teknik penyembelihan yang betul kerana ramai yang berasa kesian kepada haiwan yang dikorbankan.
Namun ujar beliau, selepas diberikan pemahaman tentang hukum dan hikmah ibadah korban melalui kelas-kelas agama, masyarakat mula membuka mata dan hati.
“Mereka semakin faham bahawa ibadah korban bukan sekadar menyembelih haiwan, tetapi ia lambang ketaatan dan pengorbanan kepada ALLAH,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi tukang sembelih, Jasri Luwi, 34, dari suku kaum Temiar berkata, beliau mula mendalami ilmu penyembelihan sejak tahun 2023.
“Tahun ini sahaja saya sudah menyembelih tiga ekor lembu bermula dari pagi raya pertama. Impian saya adalah untuk melihat lebih ramai Orang Asli mampu melaksanakan ibadah korban sendiri tanpa bergantung kepada orang luar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

