Rumah sembelihan manual mudahkan ibadah korban

MELAKA - Masjid As-Salimin Kampung Kandang, di sini, mengambil masa sebulan untuk membina rumah sembelihan secara manual demi melancarkan ibadah korban pada tahun ini.
Pengerusinya Abdul Malik Hussin berkata, rumah sembelihan yang dibina di atas tanah wakaf dengan kos kira-kria RM25,000 itu direalisasikan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk penduduk.
Menurutnya, rumah sembelihan tersebut menyamai spesifikasi ditetapkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) termasuk kemudahan kandang berkeluasan 40x40 kaki yang begitu mementingkan aspek kebersihan berbanding kaedah sebelum ini.

"Banyak kelebihan apabila kita praktikan rumah sembelihan ini. Ia bukan sahaja lebih bersih, malah menjimatkan masa dan kalau cuaca hujan pun kita masih boleh teruskan ibadah ini kerana ia berbumbung.
"Ia juga lebih selamat kerana dapat mengelakkan kejadian lembu terlepas ketika hendak disembelih selain daging yang diagihkan lebih bersih tanpa sebarang bendasing seperti batu atau pasir," katanya ketika ditemui pada Majlis Korban Perdana Masjid As-Salimin Kampung Kandang, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Sidang Kampung Kandang merangkap Imam 2 masjid, Mohamad Said Kechot dan pengurus program Abu Kari Sulaiman.
Jelasnya, pada tahun ini sebanyak 29 ekor lembu dan tiga ekor kambing disembelih dengan dibantu seramai lebih 200 sukarelawan melibatkan pelbagai peringkat umur.

Sementara itu, Abu Kari berkata seramai 210 peserta mengambil bahagian dalam ibadah korban tahun ini melibatkan pengagihan daging kepada kira-kira 4,000 penduduk daripada 800 buah keluarga di kampung berkenaan.
"Ujarnya, daging korban itu juga akan diberikan kepada 65 golongan asnaf dan mualaf di seluruh negeri.
"Penglibatan peserta pada tahun ini lebih ramai berbanding tahun lalu kerana kita juga memperkenalkan bayara secara ansuran untuk satu bahagian korban bernilai RM800," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

