Tapak ibadah korban khas warga asing ikut garis panduan ketat

AMPANG - Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil pendekatan proaktif apabila menyediakan dua tapak khas bagi pelaksanaan ibadah korban melibatkan warga asing di kawasan pentadbirannya sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Dua lokasi utama yang terlibat ialah di Taman Melur serta kawasan lapang bersebelahan Surau Nurul Huda, Seri Mayang di Pandan Indah, Ampang Campuran di sini.
MPAJ menyediakan pelbagai kemudahan bagi menyokong kelancaran ibadah korban termasuk penyediaan lubang penyembelihan, bekalan air bersih serta tangki khas bagi tujuan sanitasi dan pengurusan sisa bagi memastikan persekitaran kekal bersih dan teratur.
Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Ts Hasrolnizam Shaari turut hadir meninjau perjalanan program bersama wakil Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) serta pegawai Jabatan Penguatkuasaan MPAJ bagi memastikan pematuhan garis panduan ketat yang ditetapkan.
Menurut MPAJ, pelaksanaan program ini turut mendapat kerjasama teknikal daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor dalam aspek pematuhan syarak dan kesihatan awam.
“MPAJ komited memastikan pelaksanaan ibadah korban melibatkan warga asing ini berjalan lancar, teratur serta mematuhi piawaian kesihatan dan tidak mendatangkan kacau ganggu kepada masyarakat setempat,” kata pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan.
Program ini merupakan sebahagian daripada usaha MPAJ di bawah inisiatif #MPAJPrihatin dalam menjadikan Ampang Jaya sebagai bandar sejahtera dan berdaya huni.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

