Tahlil tujuh malam berturut-turut buat mangsa nahas bas di Gerik

Sebahagian warga USIM membaca Yasin selepas solat Zohor pada hari pertama kejadian nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi Isnin.
Sebahagian warga USIM membaca Yasin selepas solat Zohor pada hari pertama kejadian nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi Isnin.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Masjid Al-Mursyidin, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan bacaan tahlil selama tujuh malam berturut-turut sebagai penghormatan terakhir kepada rakan yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik awal pagi Isnin.

Imam Masjid Al-Mursyidin, Muhammad Farhan Hakimi Khairul Aizam berkata, bacaan tahlil diketuai imam bertugas dijalankan selepas solat Maghrib bermula pada Isnin hingga Ahad ini.

Menurut beliau, majlis itu bukan sahaja sebagai penghormatan, malah menjadi ruang untuk semua menzahirkan rasa kehilangan.

"Walaupun ada antara pelajar yang tidak mengenali mangsa nahas secara peribadi, namun peristiwa ini memberi kesan besar kepada seluruh komuniti UPSI.

"Ramai dalam kalangan kami rasa sebak dan menitiskan air mata," katanya ketika ditemui di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah pada Selasa.

Muhammad Farhan yang juga penuntut tahun dua Program Tahfiz Al-Quran dan Qiraat memberitahu, tahlil dilaksanakan secara sederhana tetapi penuh makna dengan nama-nama mangsa dibacakan imam bertugas secara peribadi sebelum diumumkan kepada jemaah sebagai makluman dalam bacaan doa.

Jelas Muhammad Farhan, tempoh tujuh malam dipilih bukan atas faktor simbolik, tetapi lebih kepada kesesuaian pelaksanaan dan peluang untuk lebih ramai penuntut hadir.

"Biasanya ada tempat adakan tahlil tiga malam, tetapi di masjid ini kita panjangkan sedikit memandangkan kehadiran jemaah UPSI boleh mencecah tiga hingga empat saf terutama malam Jumaat,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran tahlil bukan hanya untuk mengenang pemergian rakan-rakan tetapi menjadi peringatan kepada yang masih hidup.

Artikel Berkaitan:

"Ini hadiah doa daripada kami buat para syuhada dan pada masa sama, kita ingatkan diri kita bersedia andai tiba masanya nanti,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!