Kerajaan dicadang wajibkan kamera rakam pemandu, kotak hitam pada bas

Khairul Nizam (gambar kecil) berpandangan pemasangan kamera perakam pemandu dalam bas mampu meningkatkan tahap disiplin kerana terdapat banyak kes kemalangan berpunca daripada sikap pemandu sendiri. Foto Bernama
Khairul Nizam (gambar kecil) berpandangan pemasangan kamera perakam pemandu dalam bas mampu meningkatkan tahap disiplin kerana terdapat banyak kes kemalangan berpunca daripada sikap pemandu sendiri. Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN – Kerajaan dicadangkan agar mewajibkan pemasangan kamera perakam pemandu dan kotak hitam pada semua pengangkutan awam termasuk bas bagi meningkatkan keselamatan jalan raya.

Presiden Persatuan Briged Negaraku, Khairul Nizam Mohd Sopery berkata, penggunaan peralatan itu amat penting kerana boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini, khususnya kemalangan.

“Kalau kita lihat sejak kebelakangan ini, banyak kes kemalangan melibatkan kenderaan berat dan paling menyedihkan apabila menyebabkan kehilangan nyawa, seperti insiden yang mengorbankan 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

“Apabila berlaku kejadian seumpama ini, pembelaan sewajarnya perlu diberikan kepada mangsa terlibat dan dengan adanya peralatan ini, ia sekurang-kurangnya boleh dijadikan bahan bukti untuk mengetahui bagaimana sesuatu insiden berlaku,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Menurut beliau, kamera perakam pemandu berbeza daripada kamera papan pemuka (dashcam) kerana ia difokuskan untuk merakam cara pemanduan dan tingkah laku pemandu.

Tambahnya, peralatan tersebut mampu meningkatkan tahap disiplin kerana terdapat banyak kes kemalangan berpunca daripada sikap pemandu sendiri.

Selain itu katanya, institusi pengajian tinggi (IPT) juga digesa agar menyediakan prosedur operasi standard (SOP) dalam urusan penyewaan perkhidmatan bas bagi membawa pelajar.

Pada masa sama, beliau meminta pengendali syarikat bas supaya lebih bertanggungjawab dalam pemilihan pemandu dan memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat untuk digunakan.

“Kemalangan yang membabitkan pelajar UPSI ini amat memberi kesan kepada semua pihak. Justeru, kita berharap agar kerajaan mengambil langkah-langkah susulan bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berulang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!