[VIDEO] Pelajar nasihat pandu perlahan tapi tak diendahkan

A
A
A

IPOH – [DIKEMAS KINI] Seorang mangsa yang terselamat dalam nahas tragis membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Kilometer 53 Jalan Gerik-Jeli memaklumkan bas yang mereka naiki dipandu laju sebelum kemalangan berlaku dan teguran supaya memperlahankan kenderaan itu tidak diendahkan.

Mangsa yang kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata, rakannya sempat mengejutkannya dari tidur dan menyuarakan kebimbangan terhadap kelajuan pemanduan bas berkenaan.

Dia sendiri mengakui telah menasihati pemandu agar memperlahankan kenderaan, namun teguran itu tidak dipedulikan sehingga menyebabkan tragedi menyayat hati yang meragut 15 nyawa.

Noraini ketika ditemui pemberita selepas melawat dua pelajar UPSI yang masih dirawat di HRPB pada Selasa.
Noraini ketika ditemui pemberita selepas melawat dua pelajar UPSI yang masih dirawat di HRPB pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad selepas melawat dua pelajar UPSI yang masih menerima rawatan di HRPB pada Selasa.

“Seorang daripada mereka masih separa sedar kerana diberikan ubat, manakala seorang lagi sudah boleh bercakap dan kelihatan stabil tetapi menunjukkan tanda-tanda trauma.

“Pihak kami menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menyalurkan perkhidmatan kaunseling kepada mangsa dan waris bagi membantu mengurus tekanan emosi kesan insiden tersebut,” katanya.

Noraini berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyalurkan sumbangan menerusi JKM dan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) kepada kedua-dua pelajar terbabit iaitu Lili Suzana Mat Ya'acob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd Zaidi, 21.

Artikel Berkaitan:

Katanya, keluarga mangsa turut dibantu dengan kemudahan penginapan sementara melalui inisiatif Anjung Kasih bagi memudahkan urusan mereka sepanjang berada di hospital.

“JKM juga akan menghubungi semua waris pelajar terlibat dengan kerjasama Pejabat Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu dan Perak untuk bantuan susulan jika perlu.

“Kita faham, trauma bukan hanya dialami mangsa, tetapi turut dirasai ahli keluarga. Jadi, kaunseling akan disediakan secara menyeluruh,” katanya.

Mengulas lanjut, Noraini berkata JKM akan turut membuat lawatan terhadap keluarga mangsa yang menaiki Perodua Alza dan terlibat dalam kemalangan sama, serta akan menyalurkan bantuan jika ada keperluan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!