Jemaah haji buat solat jenazah ghaib untuk pelajar UPSI

IPOH - Rasa dukacita atas tragedi menyayat hati yang menimpa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) merentasi sempadan apabila sekumpulan jemaah haji Malaysia di Makkah menunaikan solat jenazah ghaib.
Majlis yang turut disertai solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil itu berlangsung pada malam Isnin di Surau Hotel Abraj Janadriyah, Makkah selepas solat Maghrib (waktu tempatan).
Ia dihadiri sekitar 100 jemaah haji Malaysia termasuk beberapa pensyarah UPSI yang kebetulan menetap di hotel sama.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Muallim, Muhammad Ghazawi Zulkarnain yang turut serta memaklumkan, majlis dianjurkan dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap bumi Muallim dan warga UPSI yang dirundung duka akibat nahas jalan raya mengorbankan 15 nyawa pelajar universiti berkenaan.
“Majlis ini adalah usaha bersama dengan semangat ukhuwah dan keprihatinan.
"Semoga roh mereka ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Pelajar yang cedera segera diberi kesembuhan dan dipanjangkan usia," katanya kepada Sinar Harian.
Majlis dipimpin Pensyarah UPSI, Ah-Luqman Al-Hakim Che Zahari yang juga merupakan salah seorang jemaah haji Malaysia tahun ini.
Dalam kejadian sekitar jam 1 pagi di Kilometer 53 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Gerik pada Isnin itu, 15 pelajar disahkan meninggal dunia sementara 27 yang lain cedera.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas dalam perjalanan dari Terengganu ke Kampus UPSI di Tanjung Malim itu melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza dan hilang kawalan sebelum terbalik merempuh pembahagi jalan.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga yang menaiki MPV terbabit bersama pemandu dan kelindan bas terselamat dengan mengalami kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

