Keluarga nahas UPSI tunggu siasatan sebelum tindakan lanjut

Jenazah penuntut UPSI yang dibawa ke Masjid Hadhadi Jerteh untuk disembahyangkan.
Jenazah penuntut UPSI yang dibawa ke Masjid Hadhadi Jerteh untuk disembahyangkan.
A
A
A

JERTEH – Keluarga penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Gerik memilih untuk menunggu hasil siasatan pihak berkuasa sebelum memutuskan sebarang tindakan terhadap pemandu atau syarikat pengendali.

Bapa mangsa, Abu Setaman Jusoh, 54, berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang tuduhan tanpa bukti sahih, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menentukan punca sebenar tragedi itu.

“Kami serah kepada pihak berkuasa untuk siasat dulu. Sama ada nahas ini berpunca daripada kecuaian pemandu atau kerosakan teknikal, itu perlu diperjelaskan terlebih dahulu.

“Kalau selepas siasatan ada dapatan yang menunjukkan kecuaian atau kelemahan dalam aspek keselamatan, barulah kami fikir langkah selanjutnya,” katanya selepas selesai pengebumian anaknya, Allahyarhamah Nurul Fatihah Abu Setaman, 22, di Kampung Padang Buluh di sini pada Selasa.

Abu Setaman berkata, dia tidak sanggup menonton rakaman kemalangan dari kamera papan pemuka yang tular kerana terlalu sebak memikirkan keadaan anaknya ketika kejadian.

“Saya tahu ada video tular, tapi saya tak tengok pun. Hati saya tak kuat.

“Cuma apabila baca ramai yang komen pasal kelajuan dan cara pemanduan, saya harap semua itu disiasat secara telus,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dari kiri: ABU SETAMAN, NORHAYATI, dan NIK NOR ZABIR
Dari kiri: ABU SETAMAN, NORHAYATI, dan NIK NOR ZABIR

Menurut Abu Setaman, Nurul Fatihah sememangnya menunjukkan minat menjadi pendidik sejak kecil.

“Dari sekolah rendah lagi kalau ditanya cita-cita, jawapannya tetap sama, nak jadi cikgu.

“Dia ada wibawa dan semangat tu, sebab itu kami sokong penuh hasratnya,” katanya.

Arwah merupakan anak keempat daripada enam beradik, manakala kakaknya juga kini merupakan seorang guru kaunseling di Johor.

Sementara itu, Nik Nor Zabir Nik Chik, 65, bapa kepada Nik Amni Nadiah, 21, berkata, beliau turut memilih untuk menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan UPSI terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan sebarang tindakan.

“Kami bukan nak salahkan sesiapa. Cuma kalau memang ada kelemahan dalam aspek keselamatan, biarlah ada tindakan supaya perkara macam ini tidak berulang,” katanya.

Norhayati Mat Hassan, 48, ibu kepada Allahyarham Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd Sofian, 23, turut menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Nyawa anak kami melayang, sudah takdir tetapi jangan perkara sama berulang kepada orang lain,” katanya.

Sebelum ini, pemandu bas berusia 39 tahun yang terbabit dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak berkenaan tampil memohon maaf kepada keluarga mangsa dan menjelaskan bahawa kejadian berlaku akibat kerosakan sistem brek secara tiba-tiba.

Dalam pada itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pula mendedahkan 18 saman pernah dikeluarkan terhadap pemandu bas terbabit.

Sebanyak 13 saman dikenakan atas kesalahan memandu laju manakala tiga melibatkan kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar dan masing-masing satu tiada lampu brek ketiga serta terlibat dalam kemalangan.

Bas terbabit turut mempunyai rekod 21 saman kesalahan trafik dengan 16 saman sudah dijatuh hukum, manakala baki masih dalam siasatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!