'Kami rancang nak ke Ipoh, tapi hanya jasad arwah di bilik mayat'

Gambar kenangan Mohamad Wafie (dua dari kiri) bersama Fakhrul Arif (kiri) bersama rakan-rakannya di UPSI.
Gambar kenangan Mohamad Wafie (dua dari kiri) bersama Fakhrul Arif (kiri) bersama rakan-rakannya di UPSI.
A
A
A

TANJUNG MALIM – “Kami dah lama rancang nak bercuti di Ipoh, tapi akhirnya hanya jenazah arwah yang tiba di bilik forensik Hospital Ipoh (Hospital Raja Permaisuri Bainun).”

Demikian luahan Mohamad Wafie Mohd Fauzal Azli, 20, apabila mengenang pemergian rakan karibnya, Fakhrul Arif Rosdi, 20, salah seorang daripada 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik, awal pagi Isnin.

Menurut Mohamad Wafie, percutian singkat ke Ipoh sudah lama mereka rancang sejak awal semester, namun takdir mendahului segalanya apabila hasrat itu terkubur seiring pemergian arwah.

Mohamad Wafie menunjukkan gambar Allahyarham Fakhrul Arif yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik pada awal pagi Isnin.
Mohamad Wafie menunjukkan gambar Allahyarham Fakhrul Arif yang maut dalam nahas bas di Jalan Raya Timur–Barat, Banun, Gerik pada awal pagi Isnin.

“Bukan sekali dua kami berbual hendak ke Ipoh, malah siap senarai tempat yang ingin dikunjungi, tapi akhirnya yang sampai ke sana cuma jenazah arwah,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di UPSI Kampus Sultan Azlan Shah di sini, pada Rabu.

Mohamad Wafie berkata, dia dan Allahyarham Fakhrul Arif sememangnya rapat kerana sama-sama menuntut di Fakulti Pengurusan Ekonomi UPSI.

Ujarnya, mereka bukan sahaja akrab di kampus, malah arwah sering datang ke biliknya dan hampir setiap hari mereka keluar makan bersama.

“Waktu semester satu dulu, arwah belum membawa motosikal dan setiap kali kelas tamat pada hari Jumaat, kami berdua akan pusing pekan Tanjung Malim.

“Paling saya ingati, kami selalu singgah ke kedai air kelapa di pekan dan semua kenangan itu takkan saya lupakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Lebih memilukan, katanya, Allahyarham Fakhrul Arif telah membuat perancangan untuk menyertai aktiviti penyembelihan korban di Masjid Al-Mursyiddin UPSI pada Selasa.

“Banyak yang kami rancang tidak kesampaian. Saya akui memang terasa berat apabila mengenang kembali memori bersama arwah.

“Bagi saya, arwah seorang rakan yang sangat baik hati dan sentiasa mengambil berat tentang orang sekeliling,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!