'Abang lori' masih degil, pilih jalan waktu malam

Antara lori yang ditahan kerana melanggar larangan pergerakan sempena TBC 2026. Foto ihsan JPJ
Antara lori yang ditahan kerana melanggar larangan pergerakan sempena TBC 2026. Foto ihsan JPJ
A
A
A

SEREMBAN - Meskipun setiap tahun larangan pergerakan kenderaan barangan telah diumumkan setiap kali musim perayaan, namun masih terdapat pemandu yang ingkar arahan apabila dikesan berada di jalan raya pada waktu tidak dibenarkan.

Mereka bukan saja tidak patuh arahan, malah menggunakan alasan tidak tahu dan hanya menerima arahan majikan untuk meneruskan perjalanan.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, dalam tempoh larangan sempena Tahun Baharu Cina(TBC) 2026 pada 14 dan 15 Februari, sebanyak 19 lori telah dikenakan tindakan sita.

"Kita mendapati mereka ini telah melakukan kesalahan melanggar larangan pergerakan kenderaan berat yang mana antara alasan yang diberikan adalah tidak tahu berkenaan tempoh larangan ini.

"Ada juga yang mengatakan bahawa mereka hanya menerima arahan daripada majikan untuk meneruskan perjalanan," katanya ditemui Sinar Harian di pejabat pada Isnin.

Hanif Yusabra Yusuf
Hanif Yusabra Yusuf

Menurutnya, alasan tersebut tidak boleh diterima kerana larangan terbabit bukanlah perkara baharu dan dilaksanakan setiap tahun pada musim perayaan.

Malah katanya, kesemua pengusaha turut dimaklumkan mengenai larangan kenderaan berat pada musim perayaan dalam sesi dialog di JPJ.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Hanif berkata, kesemua lori terbabit ditahan pada waktu malam, bukan saja di lebuh raya tetapi juga di Jalan Persekutuan dan Negeri.

"Keadaan ini jelas menunjukkan yang mereka sebenarnya tahu akan larangan terbabit dan memilih bergerak pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Tapi JPJ sebenarnya bergerak secara sistematik, bukan saja pada waktu siang hari, tapi juga waktu malam," katanya.

Tambahnya, tempoh larangan terbabit bukan untuk menyusahkan tetapi bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas semasa musim perayaan serta mengurangkan risiko kemalangan.

Dalam pada itu beliau memaklumkan, dalam tempoh Ops Pra TBC bermula 9 Februari-15 Februari, sebanyak 2,974 notis saman dikeluarkan dengan kesalahan tertinggi, tiada lesen kenderaan dan motor tamat tempoh.

Untuk rekod, JPJ melaksanakan larangan pemanduan atau 'road ban' ke atas kenderaan barangan dan berat sempena sambutan TBC pada 14 hingga 15 dan 21 ke 22 Februari.

Larangan pergerakan dikenakan ke atas jenis kenderaan yang dibahagi kepada tiga jenis, iaitu kategori 1, larangan sepanjang masa pada tarikh terbabit; kategori 2, larangan bermula jam 8 pagi ke 8 malam; dan kategori 3 dari jam 6 petang hingga 6 pagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!