Isu keselamatan, tambah baik Jalan Raya Timur-Barat dibincang Jemaah Menteri esok

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Isu keselamatan dan langkah segera dalam penambahbaikan Jalan Raya Timur-Barat akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya memandang serius berkenaan aspek keselamatan jalan raya selain akan bekerjasama dengan beberapa kementerian untuk melihat langkah segera yang boleh diambil untuk penambahbaikan.
Menurutnya, kementerian memandang serius kemalangan tragis tersebut yang telah mengorbankan 15 nyawa penumpang.
"Dari segi aspek keselamatan jalan raya, kita memandang serius dan kita perlu bekerjasama antara pelbagai kementerian. Khususnya, isu keselamatan di Jalan Raya Timur-Barat ini yang memang menjadi perhatian kita (kementerian).
"Perkara ini akan saya bangkitkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok pagi untuk kita melihat apakah langkah-langkah segera yang boleh diambil untuk menambah baik," katanya ketika ditemui selepas merasmikan CruiseWorld Malaysia 2025 di sini pada Selasa.
Mengulas berkenaan infrastruktur jalan raya berkenaan yang dikatakan ketinggalan zaman berbanding negara luar, Anthony Loke berkata, infrastruktur lebuh raya dan jalan raya terletak di bawah kuasa Kementerian Kerja Raya (KKR).
"Dari segi infrastruktur lebuh raya mahu pun jalan raya, ia terletak di bawah KKR. Dari segi spek dan juga apa tindakan seterusnya itu, saya biarkan KKR untuk memberikan maklum balas.
"Sebenarnya, bukan sahaja penghadang jalan, daripada segi keadaan jalan raya dan juga kekurangan lampu jalan pada waktu malam. Ini perkara yang kita telah mengambil inisiatif antaranya akan cuba membantu untuk memasang lampu-lampu solar.
"Saya akan buat satu lawatan ke lokasi kejadian bersama pihak yang terlibat pada Khamis ini untuk melihat sendiri.
"Saya rasa perlu kita membuat satu langkah drastik dan segera untuk memberikan keutamaan kepada isu keselamatan jalan raya. Khususnya di Jalan Raya Timur-Barat," katanya.
Tambah beliau, dua siasatan sedang dijalankan terhadap kemalangan tersebut iaitu yang dijalankan oleh polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Banyak dakwaan yang dibuat antaranya syarikat bas berkenaan menggunakan pemandu lori. Semua ini bergantung kepada dua siasatan yang sedang dijalankan oleh polis dan JPJ.
"Apabila ada berlaku kemalangan, polis akan membuat siasatan terperinci daripada segi unsur jenayah.
"Yang keduanya, siasatan oleh JPJ yang akan melihat kepada perkara-perkara teknikal dan juga audit keselamatan terhadap syarikat. Itu yang telah kita lakukan setakat semalam," katanya.
Anthony Loke berkata lagi, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat bas berkenaan.
"Kita perlukan pelbagai maklumat, terutamanya daripada segi laporan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS). Kita nak dia punya rekod GPS kerana nak tahu sama ada kenderaan itu (bas) memecut atau tidak (ketika itu).
"Jadi itu yang pertama. Yang kedua, kita akan laksanakan audit terhadap syarikat sama ada mereka mematuhi langkah-langkah keselamatan atau tidak, termasuk daripada segi latar belakang pemandu bas dan sebagainya.
"Saya tidak mahu membuat kesimpulan awal. Kita kena berlaku adil. Siasatan mesti dilakukan apabila kita mendapat fakta yang sebenar. Oleh itu, saya rasa biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci," katanya.
Dalam tragedi menyayat hati pada awal pagi Isnin, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) disahkan maut dan tujuh parah apabila bas yang dinaiki mereka dalam perjalanan pulang ke universiti itu terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Difahamkan bas yang membawa pelajar UPSI itu dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tajung Malim, Perak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
