Doa Sultan Terengganu iringi pemergian 15 pelajar UPSI mangsa nahas

Sultan Mizan Zainal Abidin
Sultan Mizan Zainal Abidin
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli, pada Isnin.

Dalam satu kenyataan yang disampaikan oleh Datuk Pengelola Bijaya Raja, Datuk Mohd Sophian Abu Bakar, baginda berdua turut menzahirkan perasaan sedih yang amat mendalam terhadap tragedi menyayat hati itu.

“Baginda Sultan dan Sultanah mendoakan agar seluruh keluarga yang kehilangan insan tersayang dikurniakan kekuatan, ketabahan serta kesabaran dalam menghadapi saat penuh duka ini.

“Baginda juga memohon ke hadrat ALLAH SWT agar roh semua mangsa yang terkorban dihimpunkan bersama golongan orang yang beriman dan beramal soleh,” menurut kenyataan itu.

Tragedi tragis negara itu berlaku ketika para penuntut dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti bersama keluarga sempena Aidiladha.

Kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI itu telah menyebabkan 15 nyawa terkorban, manakala selebihnya mengalami kecederaan dan sedang menjalani rawatan di hospital.

Dalam perkembangan sama, menurut Mohd Sophian, baginda berdua juga tidak melupakan mangsa yang sedang dirawat di Hospital Taiping, Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat tragedi itu.

“Baginda juga mendoakan semoga semua yang tercedera diberikan kesembuhan segera oleh ALLAH SWT serta dipermudahkan segala urusan berkaitan rawatan dan pemulihan," tambah kenyataan itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!