Pelajar terselamat nahas terkilan dua rakan maut

Muhammad Shafie dirawat di Hospital Besut kerana demam dipercayai akibat jangkitan leptospirosis.
Muhammad Shafie dirawat di Hospital Besut kerana demam dipercayai akibat jangkitan leptospirosis.
A
A
A

BESUT – "Sebelum perjalanan, Taqim ada hubungi, tanya sama ada saya naik bas sama-sama atau tidak, tak sangka itu perbualan terakhir kami.

Demikian luah Muhammad Shafie Mat Anuar, 21, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terselamat daripada nahas bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik.

Menurutnya, dia sepatutnya menaiki bas yang sama bersama rakan-rakan lain, namun terpaksa menangguhkan perjalanan pulang ke kampus kerana demam dan mendapatkan rawatan di Hospital Besut.

"Saya hanya tahu kemalangan itu selepas terbaca dalam grup WhatsApp. Saya terkejut bila dapat tahu ramai rakan terlibat termasuk Taqim (Muhammad Mustaqim Rosde), yang memang selalu bersama saya setiap kali perjalanan balik ke kampus," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Muhammad Shafie berkata, ketika dia melihat gambar dan nama-nama mangsa yang tersebar di media sosial, hatinya luluh selepas mendapat tahu Taqim antara yang terkorban.

Pelajar semester kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Pertanian itu berkata, walaupun masih dirawat, dia tidak putus-putus berdoa agar mangsa yang cedera segera pulih dan keluarga mangsa yang terkorban diberi ketabahan.

"Saya masih terkejut, sukar nak percaya. Dua rakan baik saya pergi sekelip mata. Saya hanya mampu berdoa dari jauh semoga lebih ramai rakan terselamat," ujarnya yang kini masih dirawat dipercayai akibat jangkitan leptospirosis.

Terdahulu, sebuah bas persiaran yang membawa pelajar UPSI dari Jertih ke Tanjung Malim dipercayai terbabas berhampiran Tasik Banding, menyebabkan 15 pelajar maut manakala beberapa lagi cedera dan dirawat di Hospital Gerik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!