Nahas pelajar UPSI: Fakhrul sentiasa jaga solat ketika bekerja cuti semester

BESUT - Salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak, sentiasa menjaga solat ketika bekerja sambilan pada cuti semester yang lalu.
Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, 20, atau lebih mesra dengan panggilan Fakhru adalah seorang yang sangat komited dalam kerjanya dan tidak pernah mengabaikan solat biarpun sibuk.
Pemilik LePort Cafe di Jerteh, Besut, Faizal Abdullah, 33, yang merupakan majikan Allahyarham, menyifatkan Fakhrul Arif seorang yang memiliki perwatakan baik dan rajin bekerja.
“Allahyarham Fakhru belajar dalam jurusan perakaunan di UPSI dan pernah bekerja dengan saya semasa cuti semester baru-baru ini.
“Dia seorang yang lemah lembut, baik, dan menjaga tutur kata. Biarpun masih seorang pelajar, dia pandai melayan pelanggan malah rakan-rakan sekerja begitu seronok bekerja dengannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Faizal berkata, Allahyarham diberikan tanggungjawab untuk menjaga kaunter dan melakukan kerjanya dengan baik.
“Ini kali pertama Fakhru bekerja dengan saya kerana cawangan di Besut baru dibuka. Allahyarham antara individu yang terawal bekerja ketika pembukaan cawangan itu.
“Selepas habis waktu kerja, arwah seringkali bertanya kepada saya adakah dia bekerja dengan baik, selain suka belajar benda baharu ketika bekerja, arwah sentiasa bertanya tentang perkara yang dia tidak tahu,” ujarnya.
Menurut Faizal lagi, kali terakhir mereka berjumpa adalah pada Hari Raya Aidiladha di kafe miliknya itu.
“Baru dua hari lepas arwah hantar mesej menerusi WhatsApp ucap Selamat Hari Raya dan mengatakan ingin bekerja lagi pada cuti semester depan.
“Saya jemput dia ke kafe sebab mahu beri cenderahati raya kepada arwah termasuk kepada semua pekerja saya. Masa jumpa hari itu, dia ada tanya saya nak ambil dia lagi tak kerja sambilan masa cuti nanti, sama ada di Besut atau cawangan di Shah Alam,” katanya.
Faizal turut mendoakan agar arwah dan mangsa lain ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
“Doakan semua mangsa ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan permudahkan rombongan yang saya sertai untuk membawa pulang kesemua jenazah mangsa ke kampung halaman masing-masing,” katanya yang menyertai misi bantuan ke Gerik dan Ipoh bagi membawa pulang mangsa kemalangan maut itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi Isnin itu, 15 pelajar disahkan maut manakala 27 lagi cedera dan menerima rawatan di Hospital Gerik serta Hospital Baling, Kedah.
Turut cedera ialah pemandu bas berusia 40 tahun dan kelindannya yang berusia 54 tahun.
Nahas dipercayai berlaku apabila bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza sebelum hilang kawalan lalu terbalik dan merempuh pembahagi jalan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

