PDRM siasat penipuan infak haji babit kerugian RM2 juta

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sebanyak 37 laporan polis membabitkan seramai 124 jemaah yang disyaki menjadi mangsa penipuan infak haji dengan jumlah kerugian mencecah RM2,006,430.99.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, setakat ini sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka dan tiga tangkapan telah dibuat.
“Siasatan menyeluruh dan terperinci sedang dilaksanakan terhadap semua laporan berkaitan kes penipuan infak haji.
“Kita turut bekerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Tabung Haji dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menyemak status sah syarikat-syarikat yang menawarkan pakej sedemikian,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut beliau, modus operandi penipuan infak haji hampir serupa dengan beberapa kes penipuan umrah sebelum ini.
“Antaranya termasuk penawaran pakej percuma melalui sumbangan infak orang ramai yang kononnya disalurkan oleh syarikat tertentu, namun sebenarnya syarikat itu tidak wujud.
“JSJK sedang menyiasat kemungkinan kewujudan rangkaian sindiket yang terlibat dalam aktiviti ini dan akan memperluaskan siasatan ke seluruh negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, kes-kes sebegini memerlukan masa siasatan yang panjang kerana melibatkan pelbagai bentuk bukti termasuk dokumen transaksi, rekod perbankan dan kerjasama mangsa.
“Siasatan perlu lengkap sebelum pendakwaan boleh dijalankan. Namun, kita sedang mempercepatkan proses siasatan dan jika bukti mencukupi, tindakan tangkapan dan pendakwaan akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa siasatan kes penipuan haji tidak wujud ini dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Sebelum ini, seorang penasihat undang-undang yang juga aktivis masyarakat, Ena Awil, mendedahkan bahawa pihaknya mengesan kewujudan sindiket 'infak haji' itu tahun ini, membabitkan beberapa kumpulan jemaah yang dipercayai menjadi mangsa.
Menurutnya, selain 80 jemaah yang gagal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lalu, hampir 100 jemaah lagi mengalami situasi serupa di Sarawak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
